Selasa, 5 Disember 2023 | 4:32pm

Penyelamat Indonesia bergegas mencari 10 pendaki hilang selepas letupan Gunung Marapi

AGAM: Beratus-ratus penyelamat Indonesia berusaha mencari 10 pendaki yang hilang selepas letupan gunung berapi, Gunung Marapi mengorbankan 13 orang.

Semalam, 13 mayat pendaki temui berhampiran kawah Gunung Marapi di pulau Sumatera, selepas pasukan penyelamat mengumumkan 11 kematian pada hari yang sama dan dua lagi, hari ini.

Gunung berapi itu memuntahkan abu setinggi 3,000 meter (9,800 kaki), lebih tinggi daripada gunung berapi itu sendiri, Ahad lalu.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik berkata, jumlah keseluruhan mangsa yang maut ketika ini ialah 13 orang.

"Seramai 10 pendaki yang hilang masih dalam pencarian," katanya sambil menambah mayat dua pendaki tambahan itu ditemui semalam.

Seramai lima daripada yang mangsa yang meninggal dunia sudah dibawa turun untuk pengecaman manakala lapan mayat sudah ditemui dan dibawa turun dalam beg mayat, katanya.

"Imej yang dikongsi oleh agensi mencari dan menyelamat negara, Basarnas menunjukkan enam pasukan penyelamat membawa turun mayat.

Setakat pagi tadi, gunung berapi itu masih meletup, sekali gus menghalang usaha menyelamat lebih 200 anggota.

Penyelamat sedang mencuba melakukan pemindahan secara manual, dengan memindahkan mangsa menggunakan pengusung akibat letupan berterusan dan jarak penglihatan yang lemah.

Ketua pos pemantau Marapi, Ahmad Rifandi berkata, berlaku lima letupan dari tengah malam hingga 8 pagi waktu tempatan (0100 GMT).

"Marapi masih sangat aktif. Kami tidak dapat melihat ketinggian kerana ia dilitupi awan," katanya.

Ketua agensi vulkanologi Indonesia, Hendra Gunawan, berkata Marapi berada di tahap kedua sistem amaran empat peringkat sejak 2011 dan zon pengecualian tiga kilometer dikenakan di sekitar kawahnya.

Agensi itu tidak mengesyorkan aktiviti manusia di zon itu dan menekankan bahawa "kesan teruk" dilaporkan untuk mangsa dalam jarak satu hingga 1.5 kilometer dari kawah.

Pegawai berkata, kebanyakan pendaki mendaftar melalui sistem tempahan dalam talian, namun yang lain mungkin melalui laluan gunung haram.

Seramsi 75 pendaki disenaraikan oleh pegawai sejak Sabtu, dengan sebahagian daripada 49 orang pada mulanya mengalami luka bakar dan patah tulang.

Pencarian akan diteruskan selama tujuh hari, kata pegawai penyelamat.

Pegawai dari unit perubatan polis Sumatera Barat, Eka Purnamasari berkata, mangsa yang meninggal dunia mengalami lecur teruk dan pekerja forensik sedang bersiap untuk mengenal pasti mayat melalui rekod pergigian dan cap jari, atau berdasarkan tanda pada badan.

Ketua kampung Nagari Lasi, Adrizal berkata, penduduk kampung terkejut kerana bunyi guruh, kemudian berlaku gegaran dan juga letupan.

"Penduduk kampung sangat trauma dengan letusan itu," katanya.

Gunung Marapi, yang bermaksud "Gunung Api", adalah gunung berapi paling aktif di pulau Sumatera.

Indonesia mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di "Lingkaran Api" Pasifik, di mana plat tektonik bertembung.

Negara kepulauan ini mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif. - AFP

Beratus-ratus anggota penyelamat Indonesia bergelut mencari 10 pendaki yang hilang selepas letusan gunung berapi mengorbankan 13 orang. - Foto AFP
Beratus-ratus anggota penyelamat Indonesia bergelut mencari 10 pendaki yang hilang selepas letusan gunung berapi mengorbankan 13 orang. - Foto AFP
Berita Harian X