Ahad, 3 Disember 2023 | 10:32pm
Kepulan asap tebal menyelubungi Gunung Merapi yang meletus, hari ini. - FOTO AFP
Kepulan asap tebal menyelubungi Gunung Merapi yang meletus, hari ini. - FOTO AFP

Gunung Merapi meletus, abu bertebaran sejauh 3km

JAKARTA: Gunung Merapi yang juga gunung berapi paling aktif di Pulau Sumatera, meletus petang tadi menyebabkan hujan abu melitupi daerah Agam di Sumatera Barat dan pihak berkuasa menasihati orang ramai memakai pelitup muka.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG) melaporkan, letusan pada jam 2.54 petang waktu tempatan itu memuntahkan abu hingga bertebaran sejauh tiga kilometer (km) dari kawah puncak, diiringi bunyi gemuruh.

Peningkatan aktiviti gunung berapi di gunung setinggi 2,891 meter itu telah berterusan sejak awal tahun ini dengan status amaran ditetapkan pada tahap dua.

Bagaimanapun, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia, Abdul Muhari, berkata tiada kemalangan jiwa ataupun kerugian harta benda dilaporkan, setakat ini, manakala aktiviti masyarakat juga tidak terjejas.

Pegawai agensi operasi bencana di Agam, Ade Setiawan pula memaklumkan hujan abu gunung berapi berlaku di Nagari Lasi, mukim Canduang.

"Hujan abu gunung berapi agak tebal dan gelap tetapi kini mulai berhenti," katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka ketika keluar rumah, dan membersihkan bekalan air serta bumbung daripada abu gunung berapi bagi mengelakkan ia runtuh.

Gunung Merapi direkodkan meletus pada 8 September 1830 dan sekali lagi pada 30 April 1979 yang menyebabkan sekurang-kurang 60 kematian.

Ia turut menunjukkan peningkatan aktiviti dari akhir 2011 hingga awal 2014 sebelum meletus pada 26 Februari 2014. – BERNAMA

Berita Harian X