Sabtu, 2 Disember 2023 | 5:14pm
Peningkatan jangkitan COVID-19 di Singapura mungkin disebabkan oleh faktor seperti musim melancong akhir tahun dan imuniti penduduk yang semakin berkurangan. - Foto AFP
Peningkatan jangkitan COVID-19 di Singapura mungkin disebabkan oleh faktor seperti musim melancong akhir tahun dan imuniti penduduk yang semakin berkurangan. - Foto AFP

Jangkitan COVID-19 di Singapura meningkat dua kali ganda

SINGAPURA: Jangkitan COVID-19 di Singapura menunjukkan peningkatan ketara, kata Kementerian Kesihatan (MOH), hari ini.

Sehubungan itu, MOH menggesa orang ramai mengemas kini vaksin mereka.

Ia berikutan jumlah jangkitan COVID-19 dianggarkan meningkat dua kali ganda iaitu sebanyak 22,094 kes antara tempoh 19 hingga 25 November lalu, berbanding 10,726 kes pada minggu sebelumnya.

"Purata kemasukan harian COVID-19 dan kes unit rawatan rapi (ICU) kekal stabil," kata kementerian itu.

MOH berkata, peningkatan jangkitan mungkin disebabkan oleh faktor seperti musim melancong akhir tahun dan imuniti penduduk yang semakin berkurangan.

EG.5 dan subvarian HK.3 kekal sebagai subvarian utama di Singapura, dengan ia menyumbang lebih daripada 70 peratus daripada jujukan kes.

"Pada masa ini, tiada petunjuk subvarian utama lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian lain yang merebak," kata MOH.

Menyedari peningkatan penyakit pernafasan di negara-negara hemisfera utara pada bulan-bulan musim sejuk, MOH berkata, kejadian keseluruhan penyakit pernafasan di Singapura kekal stabil sejak sebulan lalu.

"Tiada tanda-tanda peningkatan penyakit pernafasan yang teruk termasuk pada kanak-kanak," katanya.

China yang menyaksikan lonjakan 'penyakit seperti influenza' sejak pertengahan Oktober, berkata lonjakan itu disebabkan penarikan sekatan COVID-19 dan peredaran patogen yang diketahui iaitu influenza dan jangkitan bakteria biasa yang menjejaskan kanak-kanak termasuk radang paru-paru mycoplasma.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihak berkuasa China memaklumkan, pihaknya tidak mengesan sebarang 'patogen luar biasa atau baharu' di utara negara itu.

MOH Singapura berkata, setakat ini WHO menyatakan trend peningkatan penyakit pernafasan tidak dijangka disebabkan oleh bermulanya musim sejuk. - AGENSI

Berita Harian X