Sabtu, 2 Disember 2023 | 3:17pm
salah satu kumpulan Rohingya yang mendarat di pantai Ulee Madon, Aceh di Indonesia. - Foto AFP
salah satu kumpulan Rohingya yang mendarat di pantai Ulee Madon, Aceh di Indonesia. - Foto AFP

Kumpulan terbaru 170 etnik Rohingya mendarat di Indonesia

JAKARTA: Kira-kira 170 pelarian Rohingya tiba di Indonesia hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kedatangan mereka melebihi 1,000 orang dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Keadaan laut tenang antara November dan April setiap tahun membuatkan anggota minoriti yang teraniaya di Myanmar ini menaiki bot kayu ke negara jiran seperti Thailand, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia, yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Ketua Komuniti Nelayan di Aceh, Miftah Cut de, memberitahu Reuters, kumpulan terbaru Rohingya mendarat di pantai Le Meulee di pulau Sabang sebelum subuh tadi.

"Kebanyakannya mereka adalah wanita serta kanak-kanak dan berada dalam keadaan lemah," katanya.

Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951 mengenai Pelarian tetapi mempunyai sejarah menerima pelarian apabila mereka tiba di pantai negara itu.

Selama bertahun-tahun, Rohingya cuba meninggalkan Myanmar yang majoriti penduduknya penganut Buddha, apabila mereka secara umum dianggap sebagai penceroboh asing dari Asia Selatan, dinafikan kewarganegaraan dan didera.

Hampir sejuta Rohingya tinggal di kem pelarian di daerah sempadan Bangladesh, Cox's Bazar, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras didalangi diketuai tentera di Myanmar pada 2017. - REUTERS

Berita Harian X