Jumaat, 1 Disember 2023 | 9:53pm
Gambar fail 23 November 2023 menunjukkan Tentera Pembebasan Rakyat memerangi tentera junta Myanmar berhampiran Wilayah Sagaing di Myanmar. - Foto REUTERS
Gambar fail 23 November 2023 menunjukkan Tentera Pembebasan Rakyat memerangi tentera junta Myanmar berhampiran Wilayah Sagaing di Myanmar. - Foto REUTERS

Pejuang etnik minoriti Myanmar bertempur dengan tentera di laluan perdagangan utama

YANGON: Pejuang etnik minoriti, hari ini, bertempur dengan tentera Myanmar di laluan perdagangan utama ke Thailand.

Pertempuran itu menyekat lalu lintas dan menyebabkan orang ramai melarikan diri.

Pejuang Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) bertempur dengan tentera pada waktu subuh di bandar Kawkareik di timur Karen.

Pekan ini terletak di Lebuhraya Asia yang menghubungkan hab perdagangan Myawaddy di sempadan Thailand dengan Yangon.

Video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan puluhan trak dan kepulan asap ke langit.

Seorang penduduk Kyondoe, kira-kira 20 kilometer (km) barat Kawkareik di sepanjang lebuh raya, melaporkan bunyi tembakan meriam dari pangkalan tentera berhampiran sejak malam Khamis.

"Saya juga nampak jet pejuang datang," kata penduduk yang tidak mahu namanya didedahkan atas sebab keselamatan.

"Penduduk dari bandar Kyondoe melarikan diri. Tidak ramai yang tinggal untuk menjaga kediaman.

"Sejak melihat jet pejuang terbang, kami kini bersiap untuk pergi," katanya.

Myanmar mempunyai lebih sedozen kumpulan bersenjata etnik minoriti, kebanyakannya memegang wilayah di kawasan sempadan negara itu dan memerangi tentera sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948.

Sejak rampasan kuasa pada Februari 2021, puluhan kumpulan "Pasukan Pertahanan Rakyat" muncul untuk memerangi junta.

Pejuang PDF menjalankan operasi bersama tentera dari KNU, termasuk serangan ke atas bandar Kawkareik tahun lalu.

Lebuhraya Asia antara Yangon dan Myawaddy disekat secara berkala selama berdekad-dekad berikutan pertempuran antara tentera dan KNU.

Myawaddy adalah yang laluan kedua paling sibuk daripada enam lintasan perdagangan sempadan rasmi Myanmar dengan Thailand dari April hingga November tahun ini.

Menurut Kementerian Perdagangan Myanmar, Myawaddy mengendalikan hampir satu bilion dolar import dan eksport.

Dua hab perdagangan tersibuk Myanmar di sempadan utara dengan China juga disekat sejak bulan lalu oleh serangan berasingan oleh pejuang etnik minoriti di Shan.

Sekatan itu menyekat perdagangan rentas sempadan dan menafikan cukai dan pertukaran asing kepada junta yang kekurangan dana. - AFP

Berita Harian X