Rabu, 29 November 2023 | 8:53am
Orang ramai termasuk kanak-kanak mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Beijing. - FOTO AFP-JIJI
Orang ramai termasuk kanak-kanak mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Beijing. - FOTO AFP-JIJI

Indonesia tingkat tahap waspada hadapi risiko penyakit pernafasan

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia meningkatkan tahap waspada terhadap risiko penyakit pernafasan yang kini merebak di utara China dengan beberapa langkah persediaan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan China menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menambah bilangan klinik rawatan demam.

Gesaan itu menyusul ketika negara berkenaan bergelut dengan lonjakan kes penyakit berkait pernafasan, dalam musim sejuk penuh yang pertama di negara itu sejak ia melonggarkan sekatan COVID-19.

"Kita boleh melakukan tindakan berjaga-jaga di pintu masuk (ke Indonesia) melalui pejabat kesihatan, terutama terhadap penghidap simptom selsema, kemudian kita melaksanakan (usaha menyebarkan) pendidikan," kata Ketua Biro Komunikasi dan Perkhidmatan Awam kementerian itu, Siti Nadia Tarmizi dalam satu kenyataan.

Siti Nadia berkata, langkah berjaga-jaga lain adalah menjalankan pemantauan terhadap makanan, selain kementerian mempunyai sistem pengawasan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

Beliau berkata, pengawasan ILI dan SARI dijalankan di kemudahan kesihatan peringkat pertama seperti pusat kesihatan masyarakat untuk memantau gejala yang serupa dengan influenza.

Langkah itu diambil berikutan wabak radang paru-paru dicetuskan oleh bakteria Mycoplasma, yang menyebabkan gejala seperti influenza.

Beliau menjelaskan, penghidap influenza pulih dengan sendirinya dan tidak perlu dimasukkan ke hospital.

"Disebabkan itu, kita mempunyai SARI (sistem pengawasan) untuk memantau kes influenza yang mempunyai simptom teruk," katanya.

Beliau berkata, jika berlaku kes sedemikian pejabat kesihatan tempatan akan mengambil sampel untuk pemeriksaan penjujukan genom bagi menyemak sama ada penyakit itu disebabkan bakteria Mycoplasma atau bakteria dan virus lain.

Selain itu, katanya, pihak kementerian sedang mengambil langkah berjaga-jaga berkaitan ubat-ubatan dan mengesahkan ubat untuk merawat bakteria Mycoplasma boleh didapati di Indonesia.

"Ini bukan penyakit baharu, jadi apa yang perlu dilakukan adalah memastikan diagnosis sama ada Mycoplasma atau bukan," katanya.

Siti Nadia berkata, langkah meningkatkan kewaspadaan itu juga mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Justeru, bagi memastikan langkah itu berjalan secara optimum, beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa mencuci tangan dengan air yang mengalir, mengekalkan gaya hidup bersih dan sihat serta memakai pelitup muka jika mereka berasa tidak sihat.

Bilangan kes penyakit membabitkan kanak-kanak dilihat tinggi, terutama di kawasan utara seperti Beijing dan wilayah Liaoning di mana pesakit terpaksa menunggu lama untuk giliran rawatan di hospital.

Majlis Negara, Kabinet China memberi amaran kes influenza dijangka meningkat pada musim bunga dan sejuk ini, manakala jangkitan 'mycoplasma pneumoniae' pula akan kekal tinggi di sesetengah kawasan.

Malah, pihaknya turut memberi amaran mengenai risiko perebakan semula jangkitan COVID-19. - AGENSI

Berita Harian X