Selasa, 28 November 2023 | 8:18pm
SPF hanya membekukan akaun bank apabila wujud sesuatu yang meragukan dan mengesyaki mereka terbabit dalam aktiviti jenayah. - Foto AGENSI
SPF hanya membekukan akaun bank apabila wujud sesuatu yang meragukan dan mengesyaki mereka terbabit dalam aktiviti jenayah. - Foto AGENSI

Singapura bekukan 16,700 akaun bank disyaki digunakan untuk penipuan

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) di bawah Perintah Anti Penipuan membekukan lebih 16,700 akaun bank yang disyaki terbabit dalam penipuan tahun lalu, menurut Menteri Dalam Negeri, K Shanmugam.

Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Parlimen, Shanmugam, yang juga Menteri Undang-undang, berkata SPF hanya membekukan akaun bank apabila wujud sesuatu yang meragukan dan mengesyaki mereka terbabit dalam aktiviti jenayah.

Beliau berkata, bagaimanapun SPF tidak menjejaki sama ada akaun ini milik warga Singapura atau warga asing kerana jumlah akaun bank yang dibekukan adalah disyaki terbabit dalam jenayah selain penipuan atau jumlah individu yang akaunnya dibekukan kerana dihalang daripada membuka akaun lain.

Katanya, sejak 2022, ramai rakyat Singapura yang mempunyai akaun bank sedia ada dibekukan atas alasan penguatkuasaan undang-undang.

"Namun apakah penyelesaian perbankan yang tersedia untuk individu sedemikian supaya mereka boleh memohon pekerjaan yang memerlukan e-pembayaran gaji atau mengakses sokongan kerajaan di mana bayaran masuk ke akaun bank," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Kementerian Dalam Negeri.

Shanmugam berkata, bagi individu yang akaun banknya dibekukan, bank mungkin memutuskan untuk menawarkan akaun baharu, tetapi ia mungkin datang dengan akses terhad kepada kemudahan tertentu, atau tertakluk kepada langkah pemantauan yang dipertingkatkan.

"Akaun terhad itu masih akan memenuhi keperluan asas perbankan individu, termasuk menerima gaji dan sokongan kerajaan," katanya.

Shanmugam berkata, bank mungkin menolak untuk menawarkan akaun baharu jika individu terbabit dianggap berisiko tinggi, contohnya, mereka yang melakukan jenayah berat seperti terbabit dalam pembiayaan keganasan.

"Individu yang akaun banknya dibekukan boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk mengeluarkan wang untuk sara hidup yang munasabah atau perbelanjaan yang sah," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X