Selasa, 28 November 2023 | 3:33pm
Calon presiden Indonesia Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Ganjar Pranowo, dan calon naib presiden, Mahfud MD, yang juga Ketua Menteri Keselamatan Indonesia, menemui penyokong di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS
Calon presiden Indonesia Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Ganjar Pranowo, dan calon naib presiden, Mahfud MD, yang juga Ketua Menteri Keselamatan Indonesia, menemui penyokong di Jakarta, Indonesia. - Foto REUTERS

Kempen menjelang pemilihan presiden Indonesia Februari depan makin meriah

JAKARTA: Kempen Pemilihan Presiden Indonesia bermula secara rasmi hari ini dengan dua daripada tiga calon memulakan lawatan berkala selama dua bulan untuk memikat pengundi dalam persaingan menerajui negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Pilihan raya umum (PRU) Indonesia merangkumi Pemilihan Umum Presiden dan pemilihan anggota legislatif pada 14 Februari tahun depan.

Menteri Pertahanan Prabowo Subianto; bekas Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan bertanding untuk menggantikan pemimpin popular, Joko Widodo (Jokowi) selepas sedekad berkuasa.

Tinjauan terbaru menunjukkan bekas komander pasukan khas, Prabowo mendahului dengan Ganjar di tempat kedua, diikuti Anies.

Calon parti pemerintah, Ganjar, akan memulakan kempennya di wilayah paling timur Papua, berpasangan dengan Mahfud MD, yang bermula di wilayah paling barat iaitu Aceh.

Anies bersedia bertemu pengundi di ibu negara Jakarta dan sekitarnya, dengan pasangannya, Muhaimin Iskandar, berkempen di Surabaya, Jawa Timur.

Prabowo dan pilihan naib presidennya, Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Jokowi, akan memulakan kempen mereka kemudian.

Calon-calon itu akan muncul dalam perbahasan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia dalam beberapa minggu akan datang, tanpa sebarang jadual diumumkan setakat ini.

Kira-kira 205 juta daripada lebih 270 juta penduduk Indonesia layak mengundi dalam Pemilihan Umum Presiden 2024. - REUTERS

Berita Harian X