Sabtu, 25 November 2023 | 3:31pm
Hubungan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri (kanan), dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, dikatakan renggang selepas perbezaan pendapat berhubung pemilihan calon presiden. - Foto AGENSI
Hubungan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri (kanan), dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, dikatakan renggang selepas perbezaan pendapat berhubung pemilihan calon presiden. - Foto AGENSI

Ramai kurang senang keretakan hubungan Jokowi-Megawati

JAKARTA: Tinjauan terbaru menunjukkan tindakan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), membelakangkan partinya, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), berhubung pemilihan bakal penggantinya dilihat sebagai merugikan dirinya.

Bagaimanapun, beliau masih mendapat penilaian tinggi dalam kalangan penduduk Indonesia secara umum.

Tinjauan pendapat terkini syarikat penyelidikan dan perunding, Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC), menunjukkan 47 peratus responden menganggap keengganan Jokowi untuk menyokong calon presiden PDI-P, Ganjar Pranowo, sebagai tidak wajar.

Ini dilihat sebagai perbuatan 'tidak mengenang budi' selepas segala yang diberikan PDI-P kepada Jokowi sepanjang kerjaya politik beliau.

Ini termasuk semasa beliau bertanding sehingga menang untuk menjawat jawatan Datuk Bandar Surakarta pada 2005; Gabenor Jakarta pada 2012 dan akhirnya Presiden Indonesia selama dua penggal sejak 2014.

Pengasas SMRC, Saiful Mujani, berkata orang ramai sedia maklum bahawa Jokowi memulakan kerjaya politiknya dengan PDI-P daripada tangga rendah sebelum dipilih sebagai datuk bandar kepada jawatan awam tertinggi sebagai presiden.

Hubungan antara PDI-P di bawah pengerusinya, Megawati Sukarnoputri, dengan Jokowi dilaporkan kian merosot sejak awal pertengahan 2022.

Ini berikutan perbezaan pendapat mereka mengenai siapa yang akan dicalonkan sebagai presiden dalam pilihan raya pada 14 Februari 2024.

Megawati dilaporkan berpendapat Jokowi campur tangan dalam hal ehwal parti politik kerana 'itu bukan urusan eksekutif untuk dikendalikan', kata ahli politik PDI-P.

Tinjauan yang dijalankan dari 29 Oktober hingga 5 November 2023 itu membabitkan 2,400 responden dan menunjukkan hanya 30 peratus menganggap sikap Jokowi wajar, manakala 23 peratus berkecuali, kata Saiful dalam sidang media bagi membentangkan dapatan tinjauan.

Tinjauan terbaru mengenai penilaian terhadap Jokowi menunjukkan 70 hingga 80 peratus masih menganggap beliau menjalankan tugasnya dengan baik, ketika beliau hanya tinggal beberapa bulan lagi bagi memegang jawatan Presiden, yang akan berakhir pada Oktober 2024.

Jokowi kelihatan keberatan untuk menunjukkan sokongannya kepada calon presiden, Ganjar Pranowo, bekas gabenor Jawa Tengah dan rakan kader PDI-P.

Sebaliknya, beliau menunjukkan sokongan yang lebih jelas kepada calon presiden yang juga kini Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

Prabowo memilih anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, sebagai calon wakil naib presidennya.

Tinjauan SMRC juga menunjukkan majoriti responden tidak bersetuju dengan Gibran untuk bertanding sebagai calon naib presiden atas tiket parti lain walaupun menjadi Datuk Bandar di bawah platform PDI-P.

Sejumlah 40 peratus responden menganggap sikapnya sebagai tidak wajar manakala 10 peratus berkata ia adalah sangat tidak sesuai dan 27 peratus berkata ia sesuai dengan baki 23 peratus lagi berkecuali.

Gibran tidak muncul pada debat umum di Surabaya pada Jumaat untuk tiga pasangan calon presiden-naib presiden anjuran pertubuhan Islam kedua terbesar Indonesia, Muhammadiyah.

Debat itu membentangkan visi dan misi mereka di hadapan panel Muhammadiyah dan orang ramai.

Jurucakap pasangan Prabowo-Gibran, Nusron Wahid, berkata Gibran dijadual menghadiri majlis bersama kesatuan guru Nahdlatul Ulama di Mojokerto, Jawa Timur, manakala Prabowo menghadiri debat umum Muhammadiyah.

"Prabowo dan Gibran membahagikan tugas untuk menghadiri dua acara berasingan itu," kata Nusron.

Bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, dan pasangannya Muhaimin Iskandar hadir pada debat Muhammadiyah pada Rabu, manakala Ganjar dan calon naib presidennya menghadiri debat itu pada Khamis.

"Kami berharap dialog ini boleh menjadi saluran untuk orang ramai mengetahui apa yang ditawarkan oleh setiap pasangan untuk memimpin Indonesia," kata Pengerusi Muhammadiyah, Haedar Nashir. - AGENSI

Berita Harian X