Sabtu, 25 November 2023 | 3:02pm
Anggota tentera Filipina mengatur kedudukan di pantai semasa latihan ketenteraan bersama pasukan tentera Australia di pangkalan tentera laut di San Antonio, Zambales di Filipina. - Foto AFP
Anggota tentera Filipina mengatur kedudukan di pantai semasa latihan ketenteraan bersama pasukan tentera Australia di pangkalan tentera laut di San Antonio, Zambales di Filipina. - Foto AFP

Filipina, Australia mulakan rondaan bersama di Laut China Selatan

MANILA: Filipina dan Australia sudah memulakan rondaan laut dan udara bersama buat julung kali di Laut China Selatan, hari ini.

Ia dilaksanakan beberapa hari selepas Manila mengambil langkah seumpamanya bersama Amerika Syarikat (AS), sewaktu negara-negara Pasifik meningkatkan kewaspadaan terhadap tindakan China yang semakin agresif.

Latihan selama tiga hari itu diumumkan oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, di media sosial, susulan perbincangan antara Filipina dan Australia, awal tahun ini.

Ia merangkumi perjanjian rondaan bersama untuk menekankan komitmen mereka terhadap perintah berasaskan peraturan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, saluran untuk lebih AS$3 trilion (RM14.05 trilion) perdagangan laut tahunan, termasuklah di wilayah yang dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 berkata, tuntutan China tidak mempunyai asas undang-undang, namun keputusan itu tidak diendahkan Beijing.

Filipina sedang meningkatkan usaha untuk menentang apa yang disifatkannya sebagai 'tindakan agresif' China di Laut China Selatan, yang turut menjadi titik permulaan bagi ketegangan China-AS berkaitan operasi tentera laut.

"Australia dan Filipina komited untuk berpegang teguh kepada wilayah yang aman, selamat dan makmur, di mana kedaulatan serta peraturan selain norma yang dipersetujui dihormati.

"Rondaan bersama pertama antara Angkatan Pertahanan Australia dan Angkatan Tentera Filipina menunjukkan komitmen ini," kata Timbalan Perdana Menteri Australia, Richard Marles, dalam satu kenyataan bersama Marcos Jr.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Negara Filipina, Arsenio Andolong, pula berkata, rondaan itu akan dilakukan di Laut Filipina Barat, istilah yang digunakan Manila untuk perairan di Laut China Selatan yang termasuk dalam zon ekonomi eksklusifnya.

Tentera Filipina berkata, dua daripada kapal tentera lautnya dan lima pesawat pengawasan akan mengambil bahagian dalam rondaan itu, manakala Australia pula menghantar pesawat pengawasan maritim Toowoomba dan P8-A.

"Aktiviti rondaan bersama buat julung kali ini, yang mungkin disusuli operasi lain, adalah manifestasi praktikal perkongsian strategik dan pertahanan yang semakin berkembang lagi mendalam antara negara kita," kata Marcos di platform X.

Kelmarin, Filipina dan AS memuktamadkan rondaan laut dan udara bersama selama tiga hari, bermula di perairan berhampiran Taiwan, sebuah pulau ditadbir secara demokrasi yang turut didakwa China sebagai miliknya, dan berakhir di Laut Filipina Barat.

China menuduh Filipina sengaja mengajak 'pasukan asing' untuk meronda di Laut China Selatan dan mencetuskan masalah, namun Manila menegaskan aktiviti maritim adalah hak negara itu. - REUTERS

Berita Harian X