Rabu, 22 November 2023 | 10:06am
Kumpulan pelarian Rohingya menaiki trak untuk dibawa ke bangunan imigresen di perkampungan Lapang Barat, Bireuen, Aceh di Indonesia. - Foto AFP
Kumpulan pelarian Rohingya menaiki trak untuk dibawa ke bangunan imigresen di perkampungan Lapang Barat, Bireuen, Aceh di Indonesia. - Foto AFP

200 lagi pelarian Rohingya mendarat di Aceh

LHOKSEUMAWE: Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kira-kira 200 lagi pelarian Rohingya tiba di wilayah paling barat Indonesia melalui laut.

Kumpulan terbaharu itu meningkatkan jumlah ketibaan kepada lebih 1,000 pelarian Rohingya dalam tempoh seminggu lalu.

Kali ini, bot membawa lelaki, wanita dan kanak-kanak itu mendarat di bandar kecil Sabang di Aceh, hujung utara Sumatera kira-kira jam 11 malam waktu tempatan (1600 GMT) pada Selasa.

Wakil agensi perlindungan pelarian PBB, Faisal Rahman, memberitahu AFP, datuk bandar kawasan itu memaklumkan pasukannya mengenai pendaratan 200 pelarian dan pihaknya akan berlepas ke Sabang awal pagi esok.

"Anggota masyarakat setempat berkata jumlah sebenar pelarian Rohingya yang mendarat kali ini mungkin mencecah 360 orang," kata Rahman.

Penduduk tempatan di Aceh minggu lalu menolak beberapa ketibaan bot pelarian Rohingya, mengatakan mereka tidak mempunyai sumber lagi untuk menerima pelarian, yang kebanyakannya sudah berminggu-minggu berada di laut.

Imej dan rakaman yang dilihat oleh AFP menunjukkan ketibaan terbaru duduk keletihan di pantai di Sabang, Aceh dan bukannya dibawa ke tempat perlindungan.

Pasukan keselamatan dan penduduk tempatan kelihatan berdiri di sekeliling kumpulan besar itu, menghalang kemasukan mereka.

Dengan ketibaan terbaru itu, hampir 1,100 pelarian mendarat di Aceh pada minggu lalu sahaja, selepas lebih 800 pelarian mendarat dengan lima bot sebelum ini, menurut pegawai tempatan.

Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) menganggarkan lebih 2,000 Rohingya meredah perjalanan berisiko ke negara Asia Tenggara yang lain pada tahun 2022.

Rahman berkata, pasukan UNHCR sedang berusaha untuk ke bandar Sabang secepat mungkin bagi memastikan ketibaan terbaharu mendapat rawatan yang mencukupi.

Beliau berkata, agensi itu merayu kepada Datuk Bandar Sabang, Reza Fahlevi, untuk mencari tempat perlindungan yang selamat bagi pelarian itu.

"Keadaan di padang sekarang, di mana mereka ditempatkan, tidak baik dan wujud sentimen dalam kalangan penduduk setempat supaya jangan lagi memberi ruang kepada pelarian Rohingya.

"Ada kemungkinan mereka akan menggerakkan masyarakat untuk menghalau pelarian Rohingya kembali ke laut, tetapi marilah kita berharap perkara itu tidak berlaku," katanya.

Ramai penduduk Aceh sendiri melalui konflik berdarah selama beberapa dekad dan sememangnya bersimpati dengan nasib saudara sesama Islam mereka dari Myanmar.

Namun, ada yang mengatakan kesabaran mereka telah diuji, mendakwa Rohingya menggunakan sumber yang terhad dan kadang-kadang mencetuskan konflik dengan penduduk tempatan dan tidak menghormati budaya tempatan.

Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB dan berkata ia tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar itu, dan berkata kebanyakan negara jiran menutup pintu mereka kepada etnik Rohingya. - AFP

Berita Harian X