Selasa, 21 November 2023 | 4:22pm
Lebih 60 tan gading gajah, sisik tenggiling dan tanduk badak telah dirampas di pelabuhan perkapalan utama Vietnam sejak 2018. - Foto AFP
Lebih 60 tan gading gajah, sisik tenggiling dan tanduk badak telah dirampas di pelabuhan perkapalan utama Vietnam sejak 2018. - Foto AFP

Penjara 12 tahun kerana edar tanduk badak sumbu, gading gajah

HANOI: Vietnam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang lelaki atas tuduhan menyeludup tanduk badak sumbu dan gading gajah dari Angola, kata kumpulan perlindungan hidupan liar sambil berkata hukuman berat adalah langkah pencegahaan utama.

Negara Asia Tenggara ialah hab pengangkutan bagi penyeludupan haram hidupan liar di Asia termasuk menjadi pengguna penting.

Menurut Education for Nature Vietnam (ENV), Ninh Ba Dien, 36, diupah oleh orang yang tidak dikenali untuk menghantar dua bungkusan barangan mengandungi hampir 12 kilogram tanduk badak dan lima kilogram gading gajah dari negara Afrika.

Salah satu bungkusan itu dirampas ketika melakukan transit di Qatar dan dia kemudiannya ditahan di lapangan terbang Noi Bai di Hanoi pada April lalu.

Dia dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Hanoi, semalam .

Vietnam dan China kekal sebagai pasaran yang menguntungkan bagi gading gajah, tenggiling, harimau dan tanduk badak sumbu, yang kerap digunakan dalam perubatan tradisional di Asia walaupun kurang bukti saintifik bahawa ia mempunyai sebarang khasiat perubatan.

Walaupun tindakan itu menyalahi undang-undang, namun undang-undang pencegahan jarang dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, Naib Pengarah EVN, Bui Thi Ha, berkata pihaknya "sangat gembira melihat banyak hukuman berat dikenakan oleh Mahkamah Hanoi kepada pesalah hidupan liar", baru-baru ini.

"Pemerdagang hidupan liar hanya dapat dihalang dengan mempertingkatkan pelaksanaan undang-undang berkaitan perdagangan hidupan liar haram," katanya.

Menurut laporan oleh ENV pada 2021, lebih 60 tan gading, sisik tenggiling dan tanduk badak dirampas di pelabuhan perkapalan utama Vietnam sejak 2018.

Februari lalu, Mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun terhadap seorang lelaki kerana memperdagangkan hampir 10 tan tanduk badak sumbu, sisik tenggiling dan produk hidupan liar terlarang lain dari Afrika.

Pada 2021, seorang lelaki yang menyeludup hampir 130 kilogram tanduk badak sumbu dari Dubai ke Vietnam dijatuhi hukuman penjara 14 tahun, hukuman paling lama direkodkan di negara itu kerana sabitan penyeludupan hidupan liar. - AFP

Berita Harian X