Isnin, 20 November 2023 | 6:19pm
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr berucap pada Sidang Kemuncak Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, AS. - Foto REUTERS
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr berucap pada Sidang Kemuncak Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, AS. - Foto REUTERS

Filipina pujuk negara jiran rangka kod tata laku di Laut China Selatan

MANILA: Filipina menghubungi Malaysia dan Vietnam untuk membincangkan mengenai kod tata laku secara berasingan membabitkan Laut China Selatan bagi mencapai pakatan serantau yang lebih luas dengan China.

Hubungan antara Filipina dan China menjadi lebih tegang di bawah Presiden Ferdinand Marcos Jr, yang sering merungut mengenai tindakan 'agresif' China.

Pada masa sama, Filipina selaku satu-satunya sekutu perjanjian berhubung Laut China Selatan dengan Amerika Syarikat (AS), mengukuhkan lagi hubungan sedia ada.

Bercakap di Hawaii pada acara yang disiarkan secara langsung, Marcos Jr berkata ketegangan kini semakin memuncak di Laut China Selatan.

Ia memerlukan Filipina bekerjasama dengan sekutu dan negara jiran untuk mengekalkan keamanan di laluan laut yang sibuk itu, di mana keadaan kini 'bertambah teruk'.

"Kami masih menunggu penyelarasan kod tata laku antara China dan ASEAN bagaimanapun kemajuannya agak perlahan.

"Justeru, kami mengambil inisiatif mendekati negara jiran lain di ASEAN yang terbabit konflik wilayah dengan China, umpamanya Vietnam dan Malaysia, bagi menyelaras kod tata laku kita sendiri.

"Semoga ini akan berkembang lebih jauh dan meluas ke negara ASEAN yang lain," kata Marcos Jr.

Kedutaan China, Malaysia dan Vietnam di Manila belum mengulas mengenai kemungkinan menyelaras kod berkenaan.

Kenyataan Marcos Jr itu menyusuli pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, Jumaat lalu, di luar forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Francisco, AS.

Pemimpin China dan ASEAN membincangkan cara untuk mengurangkan ketegangan di perairan strategik itu selepas beberapa siri konfrontasi tahun ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ASEAN dan China berusaha ke arah mewujudkan rangka kerja untuk merundingkan kod tata laku, seawal 2002.

Bagaimanapun, perkembangannya perlahan walaupun terdapat komitmen oleh semua pihak untuk memaju dan mempercepatkan proses itu.

Perbincangan mengenai komponen kod itu masih belum bermula berikutan kebimbangan mengenai sejauh mana China, yang menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, komited kepada satu set peraturan yang mengikat negara ASEAN.

Ia juga perlu dipastikan sejajar dengan undang-undang antarabangsa sedia ada. - AGENSI

Berita Harian X