Khamis, 7 September 2023 | 12:20am
Kerusi untuk delegasi Myanmar pada Sidang Kemuncak China-ASEAN Ke-26 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 di Jakarta, Indonesia, kekal kosong. - Foto REUTERS
Kerusi untuk delegasi Myanmar pada Sidang Kemuncak China-ASEAN Ke-26 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 di Jakarta, Indonesia, kekal kosong. - Foto REUTERS

Junta tentera Myanmar kecam kenyataan sebelah pihak ASEAN

YANGON: Junta Myanmar pada Rabu mengkritik kenyataan ASEAN yang mengutuk keganasan tenteranya dan menuduhnya menyasarkan orang awam, sebagai kenyataan yang berat sebelah.

Sehubungan itu, junta tentera Myanmar menegaskan negara itu tidak akan mengambil alih jawatan pengerusi blok itu apabila tiba gilirannya pada masa akan datang.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang mencetuskan protes besar-besaran dalam kalangan penduduknya yang masih menyokong pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, menyebabkan mereka berdepan tindakan kejam tentera.

ASEAN beberapa kali berusaha mengetuai percubaan untuk meredakan krisis dengan pelan damai 'konsensus lima perkara' yang dipersetujui sebahagian besar junta tentera, namun belum mencapai sebarang perkembangan besar.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta, pemimpin ASEAN menyeru pihak tentera negara itu untuk 'mengurangkan keganasan dan menghentikan serangan yang disasarkan terhadap orang awam'.

Tuan rumah Indonesia berkata, 'tiada kemajuan ketara' dalam rancangan itu.

Myanmar menyifatkan kenyataan itu sebagai 'tidak objektif' dan 'berat sebelah' menerusi satu kenyataan yang diterbitkan pada Rabu oleh Global New Light of Myanmar yang disokong kerajaan.

Ia menyeru Asean untuk 'mematuhi dengan tegas peruntukan dan prinsip asas Piagam ASEAN, terutama dasar tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota.

Myanmar yang dipulaukan pada peringkat antarabangsa, tidak akan memegang jawatan pengerusi ASEAN yang dijadualkan menjadi gilirannya pada 2026, kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, kepada pemberita pada Selasa.

Filipina akan menjadi pengerusi baharu, ketika blok itu bergelut dengan cara untuk berurusan dengan junta tentera, yang pemimpinnya dilarang daripada mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun, mengesahkan kepada AFP bahawa Myanmar tidak akan menjadi pengerusi pada 2026, tanpa memberikan butiran.

Myanmar sebelum ini menarik diri dari jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026 kerana kemungkinan diboikot oleh Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan kuasa antarabangsa lain.

Kerusi Pengerusi ASEAN pada tahun berkenaan sepatutnya disandang oleh Filipina.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, pada Selasa berkata Filipina bersedia untuk mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada 2026.

"Sukacita saya mengumumkan bahawa Filipina bersedia untuk menerajui dan mempengerusikan ASEAN pada 2026," kata Marcos kepada pemimpin ASEAN di Jakarta. - AFP

Berita Harian X