JAKARTA: Pemimpin Asia Tenggara mengutuk tindakan ganas dan serangan ke atas orang awam di Myanmar, dengan junta tentera dipersalahkan atas insiden itu.
Tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN, Indonesia, semalam, berkata terdapat sedikit kemajuan dalam rancangan damai yang dipersetujui.
Insiden keganasan yang turut mengakibatkan pertumpahan darah berlaku sejak rampasan kuasa oleh tentera Myanmar pada 2021 yang menyaksikan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi digulingkan.
Negara anggota ASEAN yang kini berhimpun di Jakarta turut berdepan kritikan dan disifatkan 'hilang taring' kerana sehingga kini tidak mampu memberikan penyelesaian terhadap isu membelenggu Myanmar.
Pemimpin ASEAN dalam satu kenyataan menggesa tentera bersenjata Myanmar dan semua pihak berkaitan mengurangkan keganasan dan menghentikan serangan yang disasarkan ke atas orang awam, rumah dan kemudahan awam, seperti sekolah, hospital dan pasar.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang berterusan di Myanmar," kata kenyataan itu.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh junta melakukan serangan udara ke atas kubu kuat pemberontak dan infrastruktur awam.
Percubaan diplomatik untuk menyelesaikan krisis itu tidak membuahkan hasil berikutan junta mengabaikan pelan damai konsensus lima perkara yang dipersetujui anggota ASEAN dua tahun lalu serta kritikan antarabangsa, dan enggan bekerjasama dengan lawannya.
Presiden Indonesia, Joko Widodo menggesa perpaduan dan kerjasama untuk keamanan dan kemakmuran di rantau ini, tetapi diplomat tertingginya berkata, proses damai dengan pihak junta untuk menamatkan keganasan masih tergendala.
"Kesimpulannya ialah tiada kemajuan ketara dalam pelaksanaan konsensus lima perkara," kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi kepada pemberita.
Beliau turut mengesahkan Filipina akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada 2026 dan bukannya Myanmar, selepas Presidennya Ferdinand Marcos Jr, semalam, berkata Manila bersedia untuk campur tangan bagi menggantikan pemerintah junta.
Dalam pada itu, jurucakap junta, Zaw Min Tun mengesahkan perkara itu.
"Jawatan pengerusi ASEAN pada 2026 tidak akan diisi Myanmar," katanya kepada AFP, tanpa memberikan perincian lanjut.
Myanmar sebelum ini menarik diri daripada mempengerusikan ASEAN pada 2006 kerana kemungkinan diboikot oleh Washington, Kesatuan Eropah dan kuasa antarabangsa lain. Kerusi itu diisi Filipina pada tahun itu. - AFP