Selasa, 5 September 2023 | 8:02am
Pemimpin ASEAN bakal bertemu di Jakarta, Indonesia bagi menghadiri sidang kemuncak tahunan hari ini. - Foto REUTERS
Pemimpin ASEAN bakal bertemu di Jakarta, Indonesia bagi menghadiri sidang kemuncak tahunan hari ini. - Foto REUTERS

Pemimpin ASEAN tegaskan kerelevanan blok pada sidang kemuncak

JAKARTA: Pemimpin Asia Tenggara akan bertemu di ibu negara Indonesia hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak tahunan, di tengah-tengah perpecahan dalam blok serantau 10 negara anggotanya mengenai usaha damai yang terhenti di Myanmar dan persaingan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin memuncak di rantau itu.

ASEAN sedang berusaha menjelaskan kerelevanannya ketika timbul perpecahan dalam tindak balasnya terhadap konflik di Myanmar, yang mana tentera melakukan rampasan kuasa, mengorbankan nyawa pada 2021.

"Tumpuan rakyat adalah kepada kita untuk membuktikan ASEAN masih penting dan boleh menyumbang ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini," kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi semalam.

Pemimpin rantau itu akan mengkaji semula pelan damai ASEAN, yang menggesa permusuhan dihentikan dan dialog inklusif bagi menyelesaikan krisis di Myanmar, yang selepas dua tahun, tidak menunjukkan tanda akan berkurangan.

Situasi itu meningkatkan kekecewaan dan mendedahkan perpecahan dalaman dalam blok berkenaan, yang mengutamakan perpaduan dan tidak campur tangan dalam hal ehwal kedaulatan anggotanya.

Indonesia cuba untuk membabitkan semua pihak berkepentingan di Myanmar, namun langkah unilateral oleh Thailand untuk membabitkan pemimpin tentera Myanmar, yang dilarang daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi ASEAN, menjejaskan kredibiliti blok itu dan membawa kepada perpecahan dalam kalangan negara anggota.

Bekas menteri luar Indonesia, Marty Natalegawa, berkata blok itu mesti menyesuaikan diri dengan cabaran hari ini atau melupakan risiko.

"Obituari mengenai ASEAN sebenarnya sudah ditulis berkali-kali, namun entah bagaimana pada setiap masa itu, ASEAN dapat mencipta semula dirinya dan menegaskan semula kerelevanannya. Saya fikir hari ini, kita berada di salah satu persimpangan itu," katanya semalam.

Sidang kemuncak ASEAN terakhir tahun ini juga diadakan beberapa hari selepas China mengeluarkan peta "10 garisan putus", yang menuntut sebahagian besar Laut China Selatan dan kemungkinan akan menambah tekanan kepada rundingan dengan China berhubung tatakelakuan yang sudah lama tertangguh di laluan air yang strategik itu.

Negara anggota ASEAN, Malaysia, Vietnam dan Filipina, yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan sudah menolak peta itu.

Lewat minggu ini, Indonesia juga akan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak Asia Timur, forum lebih luas, yang merangkumi China, India, Jepun, Russia dan AS.

Bagaimanapun, ia akan berlangsung tanpa kehadiran Presiden AS, Joe Biden, yang akan digantikan dengan Naib Presiden, Kamala Harris. Perdana Menteri China, Li Qiang juga akan hadir. - REUTERS

Berita Harian X