Isnin, 4 September 2023 | 5:40pm
Perwakilan bergambar sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Jakarta, Indonesia, hari ini. - Pool via REUTERS
Perwakilan bergambar sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Jakarta, Indonesia, hari ini. - Pool via REUTERS

Sidang Kemuncak ASEAN: Mesyuarat Menteri Luar tekankan perpaduan, keterangkuman

JAKARTA: Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 berlangsung di sini, hari ini, dengan penekanan diberikan kepada aspek perpaduan dan keterangkuman ASEAN, lapor Xinhua.

"Kita semua sedar banyak keadaan sukar di rantau ini. Namun, kita tidak boleh membiarkannya menjejaskan kerja keras kita pada sidang kemuncak," kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, dalam ucapan perasmiannya.

Beliau berkata, ASEAN terus menerajui usaha membentuk dinamik serantau dan memastikan keamanan serta keterangkuman di rantau ini.

Katanya, kerjasama sekretariat antara ASEAN dengan Persatuan Lingkaran Lautan Hindi, dan Forum Kepulauan Pasifik, akan diwujudkan pada hari ini, sekali gus menunjukkan keupayaan persidangan ASEAN serta penerimaan luas terhadap norma dan nilai ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang kemuncak berkaitan dijadual diadakan di Jakarta dari Selasa hingga Khamis, dengan Indonesia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini.

Selain itu, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga Ke-26, Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-18 dan beberapa sidang kemuncak lain, turut disenaraikan dalam agenda.

Kumpulan ASEAN membabitkan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – BERNAMA-XINHUA

Berita Harian X