Isnin, 4 September 2023 | 2:07pm
Menteri-menteri Luar negara anggota ASEAN bergambar sempena mesyuarat Majlis Penyelaras Ke-34 di Jakarta, Indonesia. - Foto AFP
Menteri-menteri Luar negara anggota ASEAN bergambar sempena mesyuarat Majlis Penyelaras Ke-34 di Jakarta, Indonesia. - Foto AFP

Diplomat ASEAN bincang semula pelan damai Myanmar

JAKARTA: Diplomat terkemuka Asia Tenggara hari ini akan mengkaji semula pelan damai blok ASEAN mengenai Myanmar yang semakin meruncing dengan kegagalan tentera pemerintahnya menamatkan keganasan lebih dua tahun selepas ia merampas kuasa.

Menteri-menteri luar ASEAN akan bermesyuarat di Jakarta minggu ini untuk membincangkan mengenai Myanmar dan Laut China Selatan, ekonomi serantau, jenayah transnasional dan isu lain.

Myanmar adalah anggota ASEAN walaupun pemerintah tenteranya dikecualikan daripada menyertai mesyuarat blok tertinggi sejak mereka menggulingkan kerajaan awam Aung San Suu Kyi pada 2021, sehingga mencetuskan tentangan ganas terhadap junta tentera.

ASEAN bersetuju dengan rancangan damai, yang dikenali sebagai konsensus lima perkara dan menyeru untuk menamatkan keganasan selain menghidupkan semula dialog dalam kalangan semua pihak.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, dalam ucapan pembukaan berkata, pihaknya akan menjalankan semakan menyeluruh berkaitan pelaksanaan 'konsensus lima perkara' dan menyediakan cadangan untuk dibincangkan pemimpin ASEAN.

"ASEAN hanya boleh bergerak maju dengan kuasa penuh jika kita dapat memastikan penyelesaian yang aman dan berkekalan di Myanmar," katanya.

Krisis di Myanmar menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan dan perpaduan kumpulan yang ditubuhkan pada kemuncak Perang Dingin sekitar 1960-an.

ASEAN telah beroperasi selama beberapa dekad di bawah prinsip tidak mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara lain dan mencapai persetujuan melalui konsensus.

Berikutan itu, menjadi dilema untuk membantu menyelesaikan masalah seperti yang berlaku di Myanmar, kerana tidak dapat menekan jeneral atau menghalang mereka daripada mesyuarat peringkat tertinggi.

Indonesia, yang menggesa perpaduan itu turut menjalankan usaha di sebalik tabir bagi mencari penyelesaian kepada kemelut Myanmar.

Pemimpin ASEAN dijangka berhimpun di Jakarta minggu ini bersama-sama pemimpin tertinggi dari negara rakan seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan dan Australia. - REUTERS

Berita Harian X