JAKARTA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang bakal diadakan di Jakarta akan memberi lebih penekanan mengenai pembentukan visi jangka panjang rantau ini dan mengekalkan pencapaian, menurut Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.
Beliau berkata, rantau ini bergantung kepada visi jangka panjang Concord IV untuk membimbing kerja-kerja pada masa akan datang, dengan wawasan yang terkandung dalam tema yang diketengahkan Indonesia iaitu 'ASEAN Matters: Epicentrum of Growth' selaku Pengerusi ASEAN 2023.
"Rundingan masih diteruskan. Insya-Allah, semasa sidang kemuncak ASEAN Concord IV akan dihasilkan sebagai asas untuk visi jangka panjang bagi tahun 2045," katanya dalam satu kenyataan.
Menteri itu berkata sidang kemuncak berkenaan juga bertujuan untuk meningkatkan daya tahan ASEAN dalam menangani krisis, sejajar dengan tema 'ASEAN Matters'.
Di samping itu, agenda yang turut menjadi perbincangan termasuk mengenai memudahkan proses membuat keputusan untuk meningkatkan keupayaan tindak balas krisis dan mengukuhkan aktiviti diplomatik dalam Sekretariat ASEAN, peranan setiausaha agung dan pembiayaan.
Sidang kemuncak itu juga akan mengetengahkan pelan tindakan komprehensif yang melibatkan kedua-dua negara anggota dan rakan kongsi untuk memajukan rantau ini sebagai pusat pertumbuhan.
Retno berkata, sidang kemuncak itu juga akan memberi penekanan kepada Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (ASEAN Outlook on the Indo-Pacific), dengan menumpukan kepada ekonomi, keterangkuman dan penglibatan dengan Indian Ocean Rim Association (IORA) dan Pacific Island Forum (PIF).
Berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta dari 5 hingga 7 Sept, sidang kemuncak itu ditetapkan untuk menganjurkan perhimpunan 22 negara dan sembilan pertubuhan antarabangsa.
Sebanyak 11 negara anggota ASEAN, termasuk Timor Leste, serta wakil dari sembilan negara rakan dialog dan ahli Sidang Kemuncak Asia Timur akan menyertai sidang kemuncak itu.
Bangladesh dan Pulau Cook, masing-masing memegang jawatan pengerusi IORA dan PIF turut dipelawa.
Wakil dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Forum Perdagangan Dunia juga telah mengesahkan kehadiran sebagai peserta.
Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia akan mengambil bahagian sebagai pemberi taklimat, manakala Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN Plus+3 dan Sekretariat Kerjasama Trilateral bertindak sebagai pemerhati.
Menjelang sidang kemuncak itu, mesyuarat peringkat menteri akan berlangsung dari hari ini hingga 4 September, membincangkan perkara sosiobudaya, ekonomi, hal ehwal luar negeri, isu politik dan keselamatan, serta hal ehwal majlis penyelarasan. - BERNAMA