PHNOM PENH: Raja Kemboja melantik Hun Manet, anak kepada Hun Sen yang telah memegang tampuk pemerintahan negara selama hampir empat dekad, sebagai Perdana Menteri baharu, hari ini.
Terdahulu beberapa hari selepas partinya mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) bulan lalu, Hun Sen - antara pemimpin paling lama berkhidmat di dunia - mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada anak lelaki sulungnya itu.
Pilihan raya itu yang mendapat kritikan meluas selepas parti pembangkang utama, Parti Candlelight dilarang bertanding kerana isu teknikal, menyaksikan parti pemerintah Parti Rakyat Kemboja (CPP) membolot 120 daripada 125 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Susulan permohonan Hun Sen, Raja Norodom Sihamoni hari ini mengeluarkan dekri diraja bahawa baginda 'melantik Dr Hun Manet sebagai Perdana Menteri Kemboja bagi mandat Parlimen yang ketujuh.'
Bagaimanapun untuk menyandang jawatan berkenaan secara rasmi, pemimpin berusia 45 tahun itu dan Kabinetnya mesti memenangi undi percaya di Parlimen yang dijadualkan pada 22 Ogos ini.
Kerajaan baharu itu bakal dibarisi sejumlah menteri muda, termasuk sebilangan yang mengisi jawatan dikosongkan oleh bapa masing-masing.
Hun Manet yang mendapat pendidikan di England serta Amerika Syarikat (AS), merupakan Ahli Jawatankuasa Tetap CPP.
Beliau yang juga Komander Tentera Diraja Kemboja sejak 2018, pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden China, Xi Jinping.
Hun Sen pula berjanji kepada rakyat Kemboja untuk terus mendominasi politik negara ini, namun menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam pentadbiran anaknya nanti.
Selepas berundur daripada jawatan Perdana Menteri, Hun Sen akan menjadi Presiden Senat pada awal tahun depan, selain bertindak sebagai pemangku ketua negara apabila Raja ke luar negara.
Sebelum ini, Hun Sen dilaporkan berkata, peralihan kuasa kepada Hun Manet akan mengekalkan keamanan Kemboja, selain mengelak 'pertumpahan darah' yang dikhuatiri berlaku jika beliau meninggal dunia ketika memegang jawatan Perdana Menteri.
Malah, Hun Sen dipetik memberi amaran sekiranya keselamatan Hun Manet terancam dengan serius, beliau akan kembali sebagai Perdana Menteri. - AFP