Rabu, 26 Julai 2023 | 4:42pm
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto AFP
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto AFP

Hun Sen berundur selepas hampir 40 tahun perintah Kemboja

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, seorang daripada pemimpin paling lama berkhidmat di dunia, berkata beliau akan meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada anak sulungnya selepas hampir 40 tahun memerintah.

Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinannya mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum Ahad lalu, memperoleh 82 peratus undi, sekali gus membuka jalan bagi pengganti dinasti kepada anak sulungnya.

Hun Sen dilaporkan akan menyerahkan kuasa kepada anaknya, Hun Manet, 45, dalam beberapa minggu akan datang.

Bekas tentera Khmer Rouge berusia 70 tahun itu yang memerintah sejak 1985 dilaporkan tidak berdepan pertandingan sebenar berikutan parti pembangkang diharamkan, calon pencabar terpaksa melarikan diri dan kebebasan bersuara disekat.

"Saya ingin meminta rakyat untuk memahami kerana saya mengumumkan tidak akan meneruskan lagi sebagai Perdana Menteri," kata pemimpin berusia 70 tahun itu dalam siaran khas di televisyen negara.

Lebih 9.7 juta orang didaftarkan untuk mengundi pada pilihan raya ketujuh sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menaja pilihan raya pertama pada 1993 selepas konflik bertahun-tahun termasuk pembunuhan beramai-ramai Khmer Rouge hingga menyebabkan negara itu musnah.

Sepanjang 30 tahun lalu, harapan masyarakat antarabangsa untuk melihat demokrasi berbilang parti di Kemboja hancur disebabkan oleh kuasa besar pemerintahan Hun Sen.

Berikutan pertandingan yang tidak sihat itu, pengkritik dan kumpulan hak asasi manusia mengutuk pilihan raya berkenaan.

"Pilihan raya yang akan datang menunjukkan ketiadaan ketara ketelusan, keadilan dan keterangkuman dalam proses pilihan raya," menurut mereka.

Difahamkan, satu-satunya pencabar kepada CPP adalah Candlelight Party (CP), tetapi pada Mei lalu, badan pilihan raya negara itu enggan mendaftarkannya. - AFP

Berita Harian X