Singapura: Republik ini bakal melaksanakan hukuman mati terhadap dua pengedar dadah minggu ini, termasuk wanita pertama yang dijatuhi hukuman itu dalam tempoh hampir 20 tahun, kata kumpulan hak asasi, sambil mendesak supaya pelaksanaannya dihentikan.
Pertubuhan hak asasi tempatan, Transformative Justice Collective (TJC) berkata, seorang lelaki berusia 56 tahun dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 50 gram (g) heroin akan menjalani hukuman itu di Penjara Changi, hari ini.
Seorang wanita berusia 45 tahun yang dikenali oleh TJC sebagai Saridewi Djamani pula akan menjalani hukuman sama, Jumaat ini. Dia dijatuhi hukuman itu pada 2018 kerana mengedar 30g heroin.
Jika ia dilaksanakan, Saridewi akan menjadi wanita pertama di Singapura yang menjalani hukuman mati sejak 2004, selepas pendandan rambut Yen May Woen, 36, menjalani hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah, kata aktivis TJC, Kokila Annamalai.
TJC berkata, dua banduan itu adalah warga Singapura dan ahli keluarga mereka sudah menerima notis pelaksanaan hukuman gantung itu.
Pegawai penjara tidak membalas pertanyaan AFP menerusi e-mel berhubung pengesahan perkara itu.
Singapura menguatkuasakan hukuman mati untuk jenayah tertentu, termasuk bunuh dan berkaitan kes culik.
Ia juga mempunyai undang-undang paling ketat untuk kesalahan mengedar dadah, dengan mengedar 500g ganja dan 15g heroin boleh membawa hukuman mati.
Sekurang-kurangnya 13 orang dihukum mati sejak kerajaan menyambung semula pelaksanaan hukuman gantung selepas dua tahun ia dihentikan kerana pandemik COVID-19.
Pakar hukuman mati satu lagi pertubuhan hak asasi, Amnesty International, Chiara Sangiorgio, turut menggesa Singapura menghentikan pelaksanaan hukuman gantung itu.
"Adalah amat tidak bertimbang rasa bagi pihak berkuasa di Singapura dengan kejam meneruskan lebih banyak pembunuhan atas nama membanteras dadah.
"Tiada bukti menunjukkan hukuman mati ini menjadi faktor pencegah atau memberi kesan terhadap pengedaran atau penyalahgunaan dadah.
"Ketika kebanyakan negara di seluruh dunia menghapuskan hukuman mati, dan menerima pakai dara reformasi dadah, Singapura masih gagal mengambil sebarang tindakan," katanya dalam satu kenyataan. - AFP