Selasa, 18 Julai 2023 | 4:08pm
Pemimpin parti Move Forward (MFP) yang juga calon Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat. - Foto REUTERS
Pemimpin parti Move Forward (MFP) yang juga calon Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat. - Foto REUTERS

Pita sanggup memperlahankan agenda reformasi parti

BANGKOK : Calon Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat, berkata beliau sanggup memperlahankan rentak agenda reformasi partinya jika beliau dapat membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, beliau tetapi tidak akan berundur daripada rancangannya untuk meminda Artikel 112 Kanun Jenayah iaitu undang-undang 'lese majeste' atau menghina institusi diraja, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun .

Dalam temu bual bersama Reuters, ketua Parti Move Forward (MFP) yang memenangi pilihan raya umum (PRU) negara itu menyifatkan usaha oleh tentera untuk menyekat pelantikannya hanya perbuatan sia-sia.

Tegas beliau, Thailand sudah memasuki suatu era yang berbeza dengan orang ramai mendambakan perubahan.

Pita, 42, akan bertanding dalam undi Parlimen bagi jawatan perdana menteri pada Rabu untuk kali kedua, selepas gagal minggu lalu untuk memenangi sokongan lebih separuh daripada badan perundangan yang diperlukannya.

"Ia sememangnya dijangka, perkara yang sama, tempat yang sama. Tetapi sentimen era masa kini sudah berubah,"

"Walau apa pun yang berlaku esok, ada kemajuan dalam masyarakat. Mereka menuntut sesuatu yang baharu, sesuatu yang segar," katanya.

MFP membuat kejutan selepas memenangi PRU yang berlangsung 14 Mei lalu.

Parti itu memanfaatkan sokongan besar belia untuk menewaskan saingan konservatif, dalam apa yang dilihat sebagai penolakan yang kuat terhadap hampir sedekad kerajaan yang dipimpin atau disokong oleh tentera.

Rancangan parti untuk menangani isu monopoli perniagaan, menamatkan cengkaman tentera dan menyingkirkan jeneral daripada politik adalah langkah kontroversi.

Pita berkata beliau akan bersikap anjal dan keputusan itu adalah satu keputusan yang perlu dibuat oleh Parlimen, dan partinya tidak akan berundur daripada agenda reformasi hanya untuk mendapatkan laluan lancar ke pejabat pentadbiran negara.

Katanya, pindaan Artikel 112 bukanlah satu ancaman kepada istana, tetapi akan memastikan sistem beraja tidak dipolitikkan dan undang-undang tidak disalahgunakan.

"Saya masih berpegang kepada apa yang saya janjikan kepada pengundi... institusi itu melebihi politik. Itulah satu-satunya pilihan untuk tadbir urus di negara ini.

"Saya tidak boleh memandang mata mereka (pengundi) jika saya menjauhi isu ini," katanya.

Tentera Thailand sejak beberapa dekad lalu mempertahankan monarki dan mewajarkan campur tangan dalam politik, serta menggunakan undang-undang menentang penghinaan Raja untuk menyekat perbezaan pendapat, kata pengkritik. - REUTERS

Berita Harian X