Ahad, 16 Julai 2023 | 12:15am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Kes penipuan perisian hasad, 10 ditahan di Singapura

SINGAPURA: Seramai enam lelaki dan empat wanita berumur antara 16 tahun dan 41 tahun ditangkap kerana disyaki terbabit dalam siri kes penipuan perisian hasad atau 'malware' berkaitan perbankan baru-baru ini.

Selain itu, seramai 12 lagi lelaki dan tujuh wanita, berumur antara 19 tahun dan 61 tahun, sedang membantu dalam siasatan, menurut satu kenyataan polis pada Sabtu.

Sejak Januari 2023, polis menerima semakin banyak laporan yang memaklumkan bahawa perisian hasad digunakan untuk menjejas peranti mudah alih Android.

Ini mengakibatkan transaksi tanpa kebenaran yang dibuat daripada akaun bank mangsa, walaupun mereka tidak mendedahkan maklumat log masuk perbankan Internet mereka, kata laluan sekali guna (OTP) atau maklumat Singpass kepada sesiapa.

Dalam kes ini, mangsa membalas iklan di Facebook, antaranya mengenai perkhidmatan pembersihan, dandanan haiwan peliharaan, barangan makanan seperti makanan laut dan barangan runcit.

Mangsa kemudian diarahkan oleh penipu untuk memuat turun Kit Pakej Android (atau APK) daripada gedung aplikasi bukan rasmi untuk memudahkan pembelian dan membolehkan perisian hasad dipasang pada peranti mudah alih mangsa.

Penipu kemudian meyakinkan mangsa melalui panggilan telefon atau mesej teks untuk memberi akses pada telefon Android mereka dan selepas melemahkan keselamatan telefon, penipu boleh mengawal telefon sepenuhnya.

Siasatan awal mendedahkan bahawa dua lelaki dan tiga wanita, berumur antara 18 tahun dan 41 tahun, didakwa memudahkan kes penipuan dengan melepaskan akaun bank dan/atau maklumat perbankan Internet mereka untuk tujuan keuntungan kewangan.

Seorang lelaki berusia 39 tahun pula dipercayai menerima hasil jenayah berjumlah lebih SGD$10,000 (RM34,265) dalam akaun banknya.

Tiga lagi lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 dan 31 tahun dipercayai mengeluarkan wang daripada beberapa akaun bank keldai wang itu dan menyerahkannya kepada orang yang tidak dikenali. Siasatan polis sedang dijalankan.

Kesalahan memperoleh hasil daripada kelakuan jenayah membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, denda sehingga SGD$500,000 (RM1.7 juta) atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan memperdayakan bank membuka akaun yang tidak dimaksudkan untuk kegunaan sendiri, mereka boleh didakwa dengan kesalahan menipu yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Mereka boleh didenda hingga SGD$5,000 (RM17,132), atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali kerana melepaskan butiran log masuk akaun bank mereka.

Polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa mereka tidak seharusnya mengklik pada pautan yang mencurigakan, mengimbas kod QR yang tidak diketahui atau memuat turun aplikasi mudah alih daripada laman sesawang pihak ketiga atau sumber tidak diketahui.

Orang awam juga dinasihatkan menghidupkan tetapan keselamatan, seperti tidak membenarkan pemasangan aplikasi daripada sumber yang tidak diketahui, untuk membantu melindungi peranti mereka. - AGENSI

Berita Harian X