Ahad, 18 Jun 2023 | 1:54pm
Menteri Luar Myanmar, Than Shwe. - Foto AGENSI
Menteri Luar Myanmar, Than Shwe. - Foto AGENSI

Menteri Luar Myanmar hadiri rundingan tidak rasmi ASEAN

YANGON: Myanmar, semalam mengesahkan Menteri Luar negara itu akan menghadiri 'rundingan tidak rasmi' kontroversi di Bangkok berhubung krisis politik negara yang ditadbir melalui rampasan kuasa itu.

Ia dijangka diadakan ketika beberapa anggota ASEAN memberi amaran bahawa keadaan semasa masih belum sesuai untuk blok itu melakukan libat urus semula dengan junta tentera pada peringkat tinggi mesyuarat.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, yang menggulingkan pemimpin yang dipilih secara demokratik, Aung San Suu Kyi.

Kumpulan pemantau tempatan menganggarkan, lebih 3,600 orang awam terbunuh dalam tindakan keras tentera sejak rampasan kuasa, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata lebih satu juta orang kehilangan tempat tinggal akibat penindasan.

Pada lewat Sabtu, pasukan maklumat junta mengesahkan, Menteri Luar Myanmar, Than Shwe 'dijemput ke mesyuarat di Thailand dan beliau akan menghadirinya'.

ASEAN, termasuk Myanmar sebagai anggota, mengetuai usaha diplomatik yang tidak membuahkan hasil setakat ini bagi membendung pertumpahan darah di tengah-tengah pertempuran ganas antara tentera dan pejuang anti rampasan kuasa.

Blok 10 negara itu menghalang junta Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncak peringkat atasan kerana kegagalannya melaksanakan pelan damai lima perkara yang dipersetujui dua tahun lalu.

Minggu lalu, kerajaan sementara Thailand mencadangkan untuk menganjurkan mesyuarat tidak rasmi selama dua hari membabitkan beberapa menteri luar ASEAN bermula hari ini.

"Dengan mengambil kira beberapa faktor yang mendesak, masa untuk dialog diadakan lebih awal berbanding lewat," kata Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai dalam surat jemputan yang dilihat AFP.

Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, berkata masih terlalu awal untuk melakukan libat urus semula dengan junta pada peringkat sidang kemuncak, malah pada peringkat menteri luar.

Seorang pegawai Asia Tenggara yang enggan dikenali memberitahu AFP, Malaysia tidak akan menghadiri mesyuarat yang dicadangkan itu, manakala kerajaan Kemboja memaklumkan, Menteri Luar negara itu akan menghadirinya.

Sidang kemuncak terakhir pemimpin ASEAN pada bulan lalu, berakhir tanpa sebarang kemajuan ketara dalam rancangan damai, dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi amaran bahawa blok itu berisiko menjadi tidak relevan. - AFP

Berita Harian X