MANILA : Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan latihan bersama pengawal pantai dari Jepun dan Filipina buat kali pertama mulai minggu ini, di tengah-tengah ketegangan yang meningkat dengan China di Laut China Selatan.
Latihan tiga hala itu akan bermula pada 1 hingga 7 Jun di luar wilayah Bataan Filipina, menghadap Laut China Selatan, menurut kenyataan Pengawal Pantai Filipina.
"Latihan itu akan menguatkan kerjasama pengoperasian dan akan membabitkan latihan penguatkuasaan undang-undang maritim dan latihan operasi.
"Latihan itu tidak berkaitan dengan pertikaian laut Manila dengan Beijing," kata jurucakap Pengawal Pantai, Komodor Armand Balilo, kepada pemberita.
Tambah beliau, ini adalah latihan rutin antara pengawal pantai Filipina dan AS serta Jepun kali ini meminta untuk diadakan latihan bersama.
Latihan pengawal pantai itu adalah paparan terbaru kerjasama antara AS dan sekutunya di Asia, ketika hubungan Washington dengan Beijing semakin panas.
Menurut Balilo, kira-kira 400 pegawai dan petugas dari empat buah kapal akan menyertai latihan tiga hala, dengan Australia dan India mungkin mengambil bahagian sebagai pemerhati.
AS dan Filipina pada April lalu mengadakan versi terbesar latihan ketenteraan utama mereka, menggunakan roket dan pesawat tempur untuk simulasi menenggelamkan kapal musuh sebagai sebahagian daripada strategi perang mereka yang dijalankan di kawasan berhampiran Laut China Selatan.
Terbaru, Pengawal Pantai Filipina yang berada di barisan hadapan dalam ketegangan berlarutan dengan China di perairan yang dipertikaikan, hampir berlanggar dengan kapal China.
Di tengah-tengah pertelingkahan ini, Filipina di bawah Presiden Ferdinand Marcos Jr, memperkukuh pakatan pertahanannya dengan AS, dengan tentera AS memperoleh akses yang diperluaskan ke kawasan Filipina pada awal 2023. - AGENSI