JAKARTA: Gunung Merapi di Indonesia antara gunung berapi paling aktif di dunia, meletus hari ini dan memuntahkan lava lebih dua kilometer dari kawahnya.
Imej dramatik lava yang mencurah dari kawah gunung berapi itu berjaya dirakam oleh Balai Cerap Gunung Merapi yang dikendalikan kerajaan.
Susulan itu, berpuluh-puluh gegaran kecil berkaitan letusan Merapi direkodkan hari ini, menurut Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi (BPPTKG), sebuah agensi kerajaan yang memantau gunung berapi itu.
"Aktiviti Merapi sedikit meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini, tetapi peningkatan seperti ini sering berlaku di Merapi.
"Selain itu, cuaca juga cerah dan orang ramai boleh melihat letusan yang mengalir dari gunung berapi itu, tetapi masih dalam lingkungan zonnya," kata Ketua BPPTKG,
Agus Budi Santoso.
Merapi, yang terletak hanya 28 kilometer di utara ibu kota wilayah Yogyakarta, dipantau rapi oleh agensi BPPTKG.
Pihak berkuasa juga melaksanakan zon sekatan tujuh kilometer pada tahun 2022 berikutan penilaian risiko untuk kampung di sekitarnya.
Bagaimanapun, paras amaran Merapi kekal tidak berubah iaitu pada paras kedua tertinggi sejak tahun 2020.
Letusan besar terakhir gunung berapi pada 2010 membunuh lebih 300 orang dan memaksa pemindahan kira-kira 280,000 penduduk.
Ia adalah letusan paling kuat di Merapi sejak 1930, apabila kira-kira 1,300 orang terbunuh. - AFP