Rabu, 17 Mei 2023 | 11:02pm
Seorang wanita berlindung daripada panas terik matahari dengan payung di Chennai, semalam. AFP
Seorang wanita berlindung daripada panas terik matahari dengan payung di Chennai, semalam. AFP

Gelombang haba April bukan kejadian semula jadi - Saintis

SINGAPURA: Gelombang haba terburuk yang melanda beberapa bahagian di Asia Tenggara dan Asia Selatan bulan lalu, adalah '30 kali ganda berisiko berlaku' akibat perubahan iklim yang dicetuskan manusia.

Rantau itu merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius bulan lalu, dengan Bangladesh mencatat suhu tertinggi dalam tempoh 50 tahun, Thailand mencatat suhu tertinggi 45 darjah dan suhu di Laos melebihi 42 darjah.

Situasi itu menyebabkan kerosakan infrastruktur dan bekalan elektrik terputus, selain peningkatan kes strok haba.

Sepasukan saintis di Atribusi Cuaca Dunia yang mengkaji tahap cuaca panas dan kelembapan di India, Bangladesh, Thailand dan Laos, mendapati suhu menjadi dua darjah Celsius lebih panas akibat perubahan iklim, yang menyebabkan purata suhu global meningkat 1.2 darjah Celsius sejak 1900.

Menurut saintis itu, gelombang haba lembap yang kebiasaannya berlaku sekali dalam 100 tahun di Bangladesh dan India, kini dijangka berlaku setiap lima tahun, manakala cuaca panas di Thailand dan Laos hampir mustahil berlaku tanpa perubahan iklim.

Jurucakap saintis itu yang juga pakar dari Universiti Chiang Mai di Thailand, Chaya Vaddhanaphuti, menyifatkan hasil kajian kumpulannya mendapati gelombang haba ketika ini bukan kejadian semula jadi.

"Gelombang haba ketika ini bukan semula jadi. Jika tiada tindakan drastik dilaksanakan untuk mengurangkan pelepasan karbon, gelombang haba seperti ini akan terus menjadi kebiasaan," katanya.

Kajian kumpulan itu menunjukkan di beberapa kawasan di rantau berkenaan, jangkaan indeks haba, yang turut mengambil kira faktor kelembapan, menghampiri tahap 'sangat berbahaya' iaitu 54 darjah Celsius, sekali gus mencetus risiko kesihatan di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Katanya, walaupun beberapa bahagian sudah merangka pelan tindakan cuaca panas membabitkan penjagaan kesihatan dan air kecemasan atau penutupan sekolah, masih ada kawasan yang tidak bersedia dan memiliki sumber terhad untuk berdepan suhu ekstrem.

Setakat ini, belum dapat dipastikan jumlah sebenar kematian akibat gelombang haba bulan lalu, namun suhu ekstrem di India menyebabkan sekurang-kurangnya 24,000 kematian sejak 1992, dengan 90 peratus daripadanya di zon bahaya cuaca panas. - REUTERS

Berita Harian X