Rabu, 17 Mei 2023 | 11:11am
Pita Limjaroenrat melambai penyokong di Bangkok. - Foto AFP
Pita Limjaroenrat melambai penyokong di Bangkok. - Foto AFP
Anak Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, antara calon Perdana Menteri parti Pheu Thai. - Foto AFP
Anak Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, antara calon Perdana Menteri parti Pheu Thai. - Foto AFP
Penyokong parti Move Forward meraikan kemenangan di Bangkok. - Foto AFP
Penyokong parti Move Forward meraikan kemenangan di Bangkok. - Foto AFP

Siapa Pita Limjaroenrat?

BANGKOK: Sehari dua ini nama Pita Limjaroenrat menjadi sebutan apabila beliau yang mengetuai Parti Move Forward memenangi kerusi terbanyak iaitu berjaya memiliki 152 Parlimen pada Pilihan Raya Umum Thailand, Ahad lalu.

Pita, 42, yakin beliau akan diangkat sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Prayuth Chan o-cha.

Graduan Sarjana Dasar Awam Harvard University itu bercadang untuk bergabung dengan parti Pheu Thai (Untuk Thai) yang mendapat jumlah kedua terbanyak, iaitu 141 kerusi Parlimen dan juga sokongan beberapa parti pembangkang yang lain.

Move Forward popular dalam kalangan generasi muda yang sudah kecewa dengan pemerintahan tentera selama bertahun-tahun, dan mahukan perubahan. Di Bangkok saja, parti itu memenangi 32 daripada 33 kerusi Parlimen.

Pita memulakan kerjaya politiknya pada 2019 selepas dipilih ke Parlimen sebagai ahli Future Forward Party.

Parti itu diasaskan oleh Thanathorn Juangroongruangkit, seorang jutawan dan pengkritik tentera, yang akhirnya dibubarkan selepas dakwaan yang menimbulkan perbalahan.

Thanathorn hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan Move Forward ditubuhkan dengan menamakan Pita sebagai ketua.

Pita pemimpin yang menyerlah di Parlimen Thailand, susulan ucapannya yang mengkritik kerajaan dan memecahkan pengaruh politik tentera serta mencadangkan perubahan undang-undang berkaitan raja, iaitu lèse-majesté.

Pita dilahirkan dalam keluarga kaya Thai yang terbabit dalam politik dan bapanya penasihat di Kementerian Pertanian, manakala bapa saudara pembantu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Beliau dihantar bersekolah di New Zealand dan semasa di luar negara minatnya dalam politik semakin berkembang.

Pita kemudian memperoleh Sarjana Muda Kewangan Universiti Thammasat, Bangkok dan menyambung pengajian dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat.

Kerjaya Pita bermula selepas mengambil alih syarikat minyak milik bapanya dan kemudiannya dilantik sebagai pengarah eksekutif syarikat e-hailing, Grab Thailand.

Beliau berkahwin dengan Chutima Teenpanart, iaitu seorang model dan pelakon Thailand, namun pasangan itu bercerai pada 2019.

Pita kini bapa tunggal kepada anaknya berusia tujuh tahun, Pipim yang turut dibawanya ke perhimpunan Move Forward.

Calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat ketika perarakan selepas pengumuman jumlah kerusi Parlimen. - AFP
Calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat ketika perarakan selepas pengumuman jumlah kerusi Parlimen. - AFP

Sementara itu, parti yang mempunyai jumlah kerusi kedua terbanyak, Pheu Thai bermula kira-kira 20 tahun lalu, iaitu gerakan politik yang diasaskan oleh jutawan yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang menguasai pilihan raya Thailand selama dua dekad lalu.

Anak perempuan Thaksin yang mengetuai Pheu Thai, Paetongtarn adalah antara calon parti itu sebagai perdana menteri.

Wanita berusia 36 tahun itu memanfaatkan pengaruh besar bapanya, termasuk kawasan berpendapatan rendah di luar bandar.

Namun Move Forward mendapat sokongan belia, didorong oleh pemuda yang mengetuai protes di seluruh Bangkok sekitar tahun 2020 kerana menuntut perubahan demokratik dan pembaharuan kepada monarki Thailand.

Parti United Thai Nation (UTN) diketuai Prayuth pula sekadar memenangi 36 daripada 500 kerusi Parlimen.

Halangan besar kepada Pita untuk dipilih sebagai perdana menteri ialah Senat Thailand yang anggotanya dilantik oleh junta tentera dan memihak kepada raja.

Perlembagaan Thailand yang digubal ketika pemerintahan tentera mengatakan Dewan Senat yang mempunyai 250 Senator, perlu memberi kelulusan kepada calon pilihan perdana menteri mana-mana gabungan yang membentuk majoriti.

Parti Move Forward lantang menentang undang-undang menghina raja dan Pita dituduh melanggar undang-undang berkenaan. - AGENSI

Perdana Menteri sementara Thailand, Prayuth Chan-ocha. - Foto REUTERS
Perdana Menteri sementara Thailand, Prayuth Chan-ocha. - Foto REUTERS

Berita Harian X