BU MA, MYANMAR: Jumlah korban akibat taufan Mocha di Myanmar yang mula membadai beberapa penempatan di negara itu, sejak dua hari lalu, meningkat kepada sekurang-kurangnya 81 mangsa.
Angka itu dilaporkan pemimpin tempatan, pegawai dan media tempatan, ketika ini penduduk kampung terjejas masih menunggu bantuan dan sokongan.
Taufan Mocha dilaporkan mula membadai beberapa kawasan di negara itu, Ahad lalu, dengan kelajuan angin sehingga 195 kilometer sejam, sekali gus menumbangkan tiang elektrik dan memusnahkan bot nelayan.
Menurut Ketua Kampung Bu Ma yang berhampiran Sittwe, Karlo, sekurang-kurangnya 46 maut di kampung itu di negeri Rakhine dan berhampiran Khaung Doke Kar, yang didiami oleh kaum minoriti, Rohingya.
"Kita khuatir lebih ramai lagi maut kerana kira-kira 100 penduduk dikesan hilang," katanya.
Sementara itu, menurut stesen televisyen tempatan, MRTV, 13 lagi terbunuh apabila sebuah biara runtuh di sebuah kampung dekat bandar Rathedaung di utara ibu kota Rakhine, Sittwe.
Menurutnya, seorang wanita pula maut apabila sebuah bangunan runtuh di kampung berhampiran. - AFP