BU MA: Jumlah kematian akibat taufan di beberapa kampung di Rakhine, Myanmar meningkat kepada 41 mangsa hari ini.
Taufan Mocha yang membadai Myanmar dengan kelajuan 195 kilometer (km) sejak Ahad lalu menyebabkan menara elektrik tumbang dan memusnahkan bot nelayan yang diperbuat daripada kayu.
Pentadbir kampung Bu Ma, Karlo, mengesahkan berlaku 17 kematian di penempatan terletak berhampir Sittwe, yang didiami minoriti Rohingya.
"Kami jangka akan ada lebih banyak kematian kerana masih ada ratusan penduduk yang hilang," katanya.
Angka kematian di kampung Bu Ma itu menambah kepada jumlah 24 kematian yang dilaporkan oleh seorang ketua kampung Rohingya di kampung Doke Kar.
Namun, ketua kampung itu enggan namanya didedahkan kerana bimbang dikenakan tindakan oleh junta tentera Myanmar.
Semalam, pihak junta memaklumkan lima individu terbunuh akibat taufan berkenaan, namun tidak memperincikan di mana mereka ditemukan mati, serta sama ada ia turut merangkumi kematian di Bu Ma dan Khaung Doke Kar.
Sementara itu, pejabat pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan sedang menyiasat laporan mengatakan warga Rohingya di kem pelarian terbunuh akibat taufan.
"UNHCR menzahirkan kesedihan terhadap laporan kematian di kem pelarian di Rakhine akibat Taufan Mocha," katanya.
Terdahulu, komunikasi dan akses ke Sittwe yang menempatkan kira-kira 150,000 penduduk, kembali terhubung hari ini selepas jalan raya mula dibersihkan dan internet pulih.
Semalam, rakaman media tempatan menunjukkan anggota tentera sedang mengeluarkan barangan bantuan dari pesawat di lapangan terbang Sittwe, namun penduduk kampung warga Rohingya mendakwa mereka masih belum menerima sebarang bantuan.
"Tiada kerajaan, pertubuhan datang ke kampung kami. Sudah dua hari kami tak makan… tak ada sesiapa pun yang datang bertanya," kata penduduk kampung Bu Ma, Kyaw Swar Win, 38. - AFP