Isnin, 15 Mei 2023 | 9:00am
 Presiden Joko Widodo. - Foto fail REUTERS
Presiden Joko Widodo. - Foto fail REUTERS

'Menteri gagal tunjuk prestasi, sibuk berkempen PEMILU akan diganti'

JAKARTA: Presiden Joko Widodo memberi amaran mana-mana menteri dan timbalan menteri yang gagal menunjukkan prestasi kerana tumpuan beralih kepada pilihan raya umum (PEMILU) 2024 akan digantikan.

"Saya sentiasa menilai kerja mereka. Jika prestasi merosot, mereka mungkin akan diganti. Semudah itu," katanya ketika berucap pada Forum Rakyat di Jakarta, semalam.

Memetik laporan antaranews.com, program itu dianjurkan Relawan Jokowi, sekumpulan pertubuhan sosial dan sukarelawan yang menyokong Widodo, juga dikenali sebagai Jokowi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) membuka pendaftaran calon bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat (DPR) pada PEMILU 2024 bermula 1 hingga 14 Mei.

"Kita harus tahu bahawa peraturan membenarkan perkara ini. Bagi saya, menteri boleh menyertai pilihan raya selagi mereka tidak hilang tumpuan kepada tugas harian mereka," tegas Jokowi.

Beberapa menteri dan timbalan menteri telah menyatakan hasrat untuk bertanding merebut kerusi Parlimen pada PEMILU 2024.

Antaranya, Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan bagi kerusi di daerah pilihan raya Jawa Tengah I.

Parti Kebangkitan Negara (PKB) meletakkan dua menteri antara calon mereka sebagai Ahli Parlimen iaitu Menteri Tenaga Kerja, Ida Fauziyah Menteri Kampung, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi, Abdul Halim Iskandar.

Sementara itu, Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Yasonna Laoly dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Angela Tanoesoedibjo masing-masing akan bertanding untuk kerusi Parlimen melalui Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan Parti Perpaduan Indonesia (Perindo).

Begitu juga, Parti Demokrat Nasional (NasDem) turut menyokong dua menteri yang bertanding di kerusi DPR iaitu Menteri Pertanian Syahrul Yasin Limpo dan Menteri Komunikasi dan Informatik Johnny G Plate.

Selain itu, Parti Bulan Sabit (PBB) telah mendaftarkan Timbalan Menteri Tenaga Kerja Afriansyah Ferry Noor, manakala Parti Pembangunan Perpaduan (PPP) berharap Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Zainut Tauhid Sa'adi akan dapat memenangi kerusi di parlimen itu.

Menurut Artikel 240 Undang-Undang Pilihan Raya, menteri yang mencalonkan diri di kerusi legislatif tidak perlu mengundurkan diri dari jawatannya.

Peruntukan itu menyatakan bahawa, kecuali menteri, beberapa pegawai awam mesti berundur daripada jawatan mereka. - AGENSI

Berita Harian X