Ahad, 14 Mei 2023 | 11:28pm
Penyokong Move Forward Party menunggu keputusan awal di ibu pejabat parti di Bangkok. - Foto AFP
Penyokong Move Forward Party menunggu keputusan awal di ibu pejabat parti di Bangkok. - Foto AFP

PRU Thailand: Parti anak Thaksin di tempat kedua dalam kiraan awal

BANGKOK: Dua parti utama pembangkang Thailand mendahului undian popular dalam kiraan awal pilihan raya umum hari ini, manakala parti yang disokong tentera dan diketuai Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha mengekori di tempat ketiga.

Setakat ini, lebih suku undian sudah dikira dengan Move Forward Party (MFP) memperoleh hampir dua juta undi, manakala parti Pheu Thai (Untuk Thai) sebanyak 1.8 juta, menurut angka yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Parti Move Forward, diketuai graduan Harvard University, Pita Limjaroenrat, 42.

Selain itu, parti United Thai Nation pimpinan Prayut kini berada di tempat ketiga dengan undian awal sebanyak 700,000 undi.

Angka itu secara umumnya selaras dengan tinjauan pendapat dilakukan sebelum pilihan yang meramalkan kejayaan parti pembangkang serta kekalahan teruk Prayut.

Pheu Thai gerakan baharu politik yang diasaskan oleh jutawan yang juga bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra yang sudah mendominasi pilihan raya Thailand selama dua dekad lalu.

Anak perempuan Thaksin yang mengetuai Pheu Thai, Paetongtarn, antara calon paling depan sebagai perdana menteri baru.

Wanita berusia 36 tahun itu memanfaatkan pengaruh besar bapanya, termasuk kawasan berpendapatan rendah di luar bandar.

Namun MFP turut mendapat sokongan, didorong oleh pemuda yang mengetuai protes di seluruh Bangkok sekitar tahun 2020 kerana menuntut perubahan demokratik dan pembaharuan kepada monarki Thailand.

Perdana menteri baru akan dipilih secara bersama oleh 500 Ahli Parlimen yang menang PRU kali ini dan 250 Senator yang sudah dilantik oleh Prayut.

Parti pembangkang yang menang akan menempuh laluan sukar kerana Perlembagaan yang digubal ketika Thailand berada di bawah pemerintahan tentera, mewujudkan 250 kerusi untuk melantik Senator, yang boleh mengundi bagi memilih perdana menteri. - AFP

Calon Perdana Menteri Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra (kanan) dan Srettha Thavisin. - Foto AFP
Calon Perdana Menteri Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra (kanan) dan Srettha Thavisin. - Foto AFP

Berita Harian X