BANGKOK: Tentera Diraja Thailand memberi jaminan tiada rampasan kuasa akan berlaku dalam pilihan raya yang berlangsung di negara itu esok.
Kenyataan itu meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan pemerintahan tentera berulang sekiranya parti pembangkang prodemokrasi menang pada pilihan raya kali ini.
Ketua Tentera Diraja Thailand, Jeneral Narongpan Jittkaewtae, yang bakal menamatkan perkhidmatan Oktober depan, menjelaskan pasukan itu kekal berkecuali, sekali gus menghapuskan peluang untuk tentera kembali memerintah.
"Saya tidak dapat mengesahkan kestabilan negara pada masa hadapan kerana ia bergantung kepada kerjasama semua pihak.
"Namun, saya hanya boleh mengesahkan tiada peluang untuk mengulangi tindakan pada masa lalu (pemerintahan tentera)," katanya seperti dilaporkan The Straits Times.
Setiap parti yang berkempen mengetengahkan manifesto pembaharuan radikal, termasuk menamatkan pengaruh tentera dalam politik Thailand.
Parti pembangkang, termasuk Pheu Thai dan Move Forward juga berjanji memperbaharui Perlembagaan jika menang pilihan raya dan memiliki 500 ahli Dewan Perwakilan bagi mengekang peranan Senat yang dilantik tentera.
Pheu Thai dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra itu turut berjanji memperkenalkan rang undang-undang antirampasan kuasa.
Sebelum ini, kerajaan dipilih dan tentera secara bergilir-gilir mentadbir Thailand, sehingga beberapa kali mencetuskan pertempuran dan tunjuk perasaan.
Thailand menyaksikan sebanyak 12 rampasan kuasa tentera sejak 1932 dengan terakhir diketuai penyandang Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, menentang kerajaan adik Thaksin, Yingluck Shinawatra, pada 2014.
Jumaat lalu, calon perdana menteri dari Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra; Prayut; pemimpin Move Forward, Pita Limjaroenrat dan beberapa calon parti lain menjalankan kempen fasa akhir mereka.
Pilihan raya Thailand menyaksikan pakatan pemerintah diketuai tentera, menentang pembangkang liberal, membabitkan lebih 6,600 calon bertanding untuk 500 kerusi Parlimen.
Lebih 70,000 rakyat Thailand di luar negara mendaftar untuk mengundi awal pada pilihan raya hari ini, dengan daftar pengundi terkini menunjukkan 52 juta orang layak mengundi kali ini bagi memilih 500 anggota Dewan Perwakilan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Mei sebagai tarikh pilihan raya umum, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Seramai 4,781 calon daripada 70 parti politik mendaftar untuk bertanding bagi merebut 400 kerusi pada pilihan raya kali ini. - AGENSI