Khamis, 11 Mei 2023 | 4:43pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo pada sidang media Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia. - Foto REUTERS
Presiden Indonesia, Joko Widodo pada sidang media Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia. - Foto REUTERS

Keamanan Myanmar: ASEAN tidak akan putus asa walaupun tiada kemajuan

LABUAN BAJO, Indonesia: Kumpulan ASEAN tidak akan berputus asa untuk menamatkan keganasan di negara anggota, Myanmar walaupun tentera pemerintah tidak membuat sebarang kemajuan dalam rancangan damai dipersetujuinya dengan blok itu dua tahun lalu.

Kekecewaan memuncak dalam kalangan 10 negara anggota terhadap Myanmar dan bagaimana menangani kemelut politik berdarah yang menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan dan perpaduan organisasi itu.

Presiden Indonesia Joko Widodo yang lantang dalam kritikannya, memberitahu sidang kemuncak ASEAN di bandar Labuan Bajo di Indonesia bahawa jeneral Myanmar tidak membuat kemajuan dalam rancangan damai ASEAN lima perkara.

Beliau berkata pencabulan hak asasi manusia di Myanmar tidak boleh diterima dan keganasan di sana harus dihentikan dan rakyatnya dilindungi.

Indonesia adalah pengerusi ASEAN tahun ini dan menteri luarnya, Retno Marsudi, memberitahu sidang kemuncak itu bahawa prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang telah termaktub dalam piagam ASEAN.

"Kekurangan kemajuan tidak bermakna kita harus berputus asa," kata Retno pada majlis penutup sidang kemuncak itu

Myanmar dilanda kegawatan sejak tentera menggulingkan kerajaan diketuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi pada 2021.

Rampasan kuasa mencetuskan bantahan meluas. Tentera sejak itu memerangi pemberontak etnik minoriti yang mencari penentuan nasib sendiri dan pejuang prodemokrasi bersekutu.

ASEAN bulan lalu mengutuk tentera Myanmar atas serangan udara terbaru dan paling mautnya yang mengorbankan sekurang-kurangnya 100 orang. Pihak junta berkata ia sedang memerangi pengganas.

Sebagai pengerusi ASEAN, Indonesia mengadakan dialog dengan semua pihak dalam beberapa bulan kebelakangan ini dalam usaha meneruskan perbincangan tetapi kritikan daripada Indonesia pada Khamis menggariskan ketiadaan sebarang keputusan.

"Saya mesti bercakap terus terang. Mengenai pelaksanaan 5PC, tidak ada kemajuan yang ketara," kata Jokowi, sebagai presiden Indonesia, sebelum ini, merujuk kepada apa yang disebut ASEAN sebagai "konsensus lima mata", atau "5PC" untuk Myanmar.

Jeneral tertinggi Myanmar bersetuju dengan rancangan itu, yang menyeru menamatkan keganasan, akses kemanusiaan dan dialog dalam kalangan semua pihak, pada April 2021 pada mesyuarat di Jakarta tetapi tentera mengabaikannya. - REUTERS

Berita Harian X