LABUAN BAJO: Kerajaan bayangan Myanmar mengalu-alukan usaha Pengerusi ASEAN, Indonesia bagi memulakan rundingan damai di negara itu.
Kerajaan bayangan Myanmar, berkata bagaimanapun, pihaknya tidak mempercayai junta yang mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada 2021.
Pemimpin ASEAN yang mengadakan sidang kemuncak di Indonesia menggesa permusuhan di negara itu dihentikan segera selain mendesak dialog dan penyampaian bantuan.
Jurucakap pentadbiran kerajaan bayangan Myanmar, yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional, Kyaw Zaw, berkata halangan terbesar kepada rundingan damai adalah tentera junta.
Kyaw Zaw berkata junta cuba mengelirukan masyarakat antarabangsa, menunjukkan kegagalannya melaksanakan konsensus keamanan lima perkara yang dipersetujui oleh jeneral tertingginya dengan ASEAN beberapa bulan selepas rampasan kuasa yang mencetuskan pergolakan meluas.
"Junta tidak pernah menepati janjinya," katanya.
Rampasan kuasa pada 2021 menggulingkan kerajaan pilihan yang dipimpin Aung San Suu Kyi dan membatalkan sedekad reformasi demokrasi.
Ia diikuti tindakan keras terhadap penunjuk perasaan sehingga membangkitkan perjuangan bersenjata.
Rejim tentera terus menerima tekanan apabila pejuang penentangan, bersama kumpulan bersenjata etnik, terus memerangi tentera junta.
Sebagai tindakan balas, tentera memperhebatkan lagi serangan dan bedilan udara dalam usaha menyatukan kuasa menjelang pilihan raya yang dirancang.
Hari ini, sebuah akhbar yang dikawal junta, Global New Light of Myanmar, memuat naik satu kenyataan yang mengalu-alukan pejuang penentangan untuk kembali ke lingkungan undang-undang dan menawarkan ganjaran wang tunai kepada mereka yang mengembalikan senjata.
Selama berbulan-bulan, Indonesia secara senyap membabitkan pihak berkepentingan utama dalam konflik Myanmar, selain negara jiran China, India dan Thailand, dalam usaha mengembalikan proses damai.
Sejak penghujung 2021, ASEAN melarang junta daripada menghadiri mesyuarat peringkat tingginya. - REUTERS