Rabu, 10 Mei 2023 | 12:49pm
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Foto REUTERS
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. - Foto REUTERS

Krisis Myanmar semakin menguji kesabaran ASEAN

LABUAN BAJO: Pemimpin Asia Tenggara yang berhimpun di Indonesia hari ini berdepan tekanan dalam cara menyelesaikan krisis di Myanmar berikutan keganasan yang semakin meningkat di negara itu kini semakin menguji kesabaran ASEAN.

Sidang kemuncak itu diadakan hanya beberapa hari selepas penyerang tidak dikenali menembak konvoi yang membawa diplomat ASEAN dan pekerja bantuan menghantar bekalan di barat Myanmar.

Ia sekali gus menimbulkan kekecewaan terhadap kegagalan junta tentera untuk menamatkan keganasan dan memastikan akses kemanusiaan yang selamat.

Keadaan keselamatan Myanmar dikesan semakin merosot sejak tentera merampas kuasa pada 2021 dan memulakan kempen untuk menumpaskan lawannya.

ASEAN menggesa junta untuk melaksanakan 'konsensus keamanan lima perkara' yang dipersetujui pada akhir 2021, termasuklah menamatkan semua permusuhan dan membabitkan semua pihak berkepentingan.

Ia turut menghalang ketua kerajaan daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sehingga kemajuan dicapai.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, semalam berkata, pelaksanaan pelan lima perkara itu dibincangkan minggu ini dan ASEAN mempunyai peranan utama untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Indonesia juga secara diam membabitkan tentera Myanmar, kerajaan bayangan dan kumpulan etnik bersenjata untuk memulakan rundingan damai.

"ASEAN sedang melakukan setakat yang boleh kerana apabila anda berada di lapangan ia tidak semudah itu," kata Menteri Luar Filipina, Enrique Manalo.

Selain itu, ada pihak yang juga menggesa ASEAN, yang ketika ini ini menyokong dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal kedaulatan anggota kesatuan, supaya mengambil sikap yang lebih keras terhadap Myanmar.

"Membiarkan kerusi kosong di sidang kemuncak ASEAN sebenarnya adalah zon selesa mereka (merujuk kepada kepimpinan tentera Myanmar). Mereka tidak perlu bertanggungjawab.

"Mengecualikan junta hanyalah sebahagian daripada siri langkah yang perlu diambil," kata bekas Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa.

Beliau berkata, perselisihan mengenai Myanmar memberikan 'cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini' kepada perpaduan blok itu.

"Ini adalah kali pertama... di mana ASEAN pada dasarnya sudah mengalami litar pintas kerana kita kini mempunyai sembilan negara anggota dan Myanmar yang tidak mengambil bahagian," katanya.

Pemimpin yang bermesyuarat di bandar pantai timur Indonesia, Labuan Bajo turut dijangka membincangkan tata laku yang sedang dirundingkan dengan China berhubung isu Laut China Selatan serta pelan hala tuju rancangan rancangan keahlian Timor Timur. - REUTERS

Berita Harian X