Ahad, 7 Mei 2023 | 2:50pm
Foto dirakamkan pada 31 Mac 2023 menunjukkan delegasi menghadiri mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat di Nusa Dua, Bali. - Foto AFP
Foto dirakamkan pada 31 Mac 2023 menunjukkan delegasi menghadiri mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat di Nusa Dua, Bali. - Foto AFP

Krisis Myanmar dominasi Sidang Kemuncak ASEAN minggu depan

SINGAPURA: Krisis buruk di Myanmar akan dibincangkan pemimpin Asia Tenggara di Indonesia minggu depan ketika mereka memperbaharui gesaan bagi menamatkan keganasan yang semakin memuncak.

Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi pada Februari 2021, dengan tindakan keras junta terhadap perbezaan pendapat yang mencetuskan kekacauan sosial dan bencana ekonomi.

ASEAN yang kerap dikritik kerana tiada tindakan lanjut cuba memulakan pelan lima perkara yang dipersetujui dengan Myanmar dua tahun lalu selepas percubaan pengantaraan untuk menamatkan keganasan gagal.

Bagaimanapun usaha organisasi itu terhenti apabila junta mengabaikan kritikan antarabangsa dan enggan terbabit dengan penentangnya, termasuk penggubal undang-undang yang digulingkan, Pasukan Pertahanan Rakyat dan kumpulan bersenjata etnik minoriti.

Serangan udara ke atas sebuah kampung di kubu kuat pemberontak bulan lalu yang dilaporkan membunuh puluhan orang mencetuskan kecaman global dan memburukkan lagi pengasingan junta.

Diplomat memberitahu AFP bahawa krisis itu akan menjadi isu utama pada Sidang Kemuncak 9 hingga 11 Mei di Pulau Flores, Indonesia.

Blok serantau yang mempunyai 10 anggota itu sekali lagi akan mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara dan menuntut keganasan dihentikan segera dalam kenyataan akhir sidang kemuncaknya yang akan dikeluarkan oleh pengerusi Indonesia tahun ini, menurut draf yang dilihat oleh AFP.

"Ini akan menjadi satu-satunya cara untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi dialog nasional yang inklusif bagi mencari penyelesaian damai yang mampan di Myanmar," menurut draf kenyataan itu.

Myanmar kekal sebagai anggota ASEAN tetapi dihalang daripada menghadiri sidang kemuncak peringkat atasan kerana kegagalan junta melaksanakan rancangan damai.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata negaranya menggunakan diplomasi senyap untuk bercakap dengan semua pihak dalam konflik Myanmar dan merangsang usaha damai yang diperbaharui.

Tetapi bekas Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa, berkata krisis yang semakin meruncing itu menimbulkan "ancaman" kepada ASEAN.

Beliau menggesa blok itu melakukan lebih tindakan atau berisiko diketepikan apabila negara lain seperti China dan anggota ASEAN secara individu akan mengambil alih peranan utama untuk menyelesaikan krisis berkenaan.

Natalegawa berkata, ASEAN harus secara terbuka menjemput Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) iaitu pentadbiran bayangan yang didominasi oleh penggubal undang-undang dari parti Suu Kyi yang berusaha membatalkan rampasan kuasa, ke mesyuarat mereka untuk membuat junta merasakan akibat daripada sikap tidak tegas.

"Kami didorong untuk mempercayai bahawa terdapat beberapa diplomasi senyap yang berlaku, tetapi ia tidak boleh terlalu senyap sehingga ia menjadi senyap terus," kata Natalegawa kepada AFP. - AFP

Berita Harian X