DHAKA (Bangladesh): Pasukan peninjau Rohingya seramai 20 orang berlepas ke Myanmar pada Jumaat melalui Sungai Naf di sempadan untuk melawat projek perintis penempatan di Negeri Rakhine yang disediakan untuk warga yang dipindahkan secara paksa.
Ia adalah lawatan pertama Rohingya ke Myanmar selepas penghijrahan mereka pada Ogos 2017 dan susulan lawatan yang jarang dilakukan oleh pegawai junta Myanmar ke kem pelarian di pantai tenggara Bangladesh pada Mac tahun ini, lapor Agensi Anadolu.
Bagaimanapun, aktivis hak asasi dan pelarian Rohingya mahu pulang dengan memperoleh hak warganegara sepenuhnya.
"Matlamat kami adalah untuk memulakan penghantaran pulang yang sudah lama tertangguh," kata Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Bangladesh (RRRC) Mohammed Mizanur Rahman kepada Anadolu.
Rahman mengiringi pasukan itu sebagai pegawai mewakili pelarian Bangladesh.
Pasukan itu memulakan perjalanan pagi Jumaat dan dijangka pulang pada hari yang sama.
"Penduduk Rohingya yang melawat bersama kami akan mendapat pengalaman langsung tentang kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Myanmar untuk mereka," kata Rahman.
Beberapa pakar dan aktivis hak asasi berkata wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya turut serta dalam lawatan itu supaya lebih kondusif bagi pihak-pihak yang terlibat dalam projek perintis penghantaran pulang.
RRRC mengesahkan tiada pegawai PBB bagi pengurusan pelarian menyertai lawatan itu.
Rahman, bagaimanapun, berkata kerajaan Bangladesh telah berkongsi perkembangan itu dengan PBB.
"Pejabat PBB di kedua-dua negara – di Bangladesh dan Myanmar – jika diperlukan boleh menyokong pasukan Rohingya," katanya.
"Kami tidak mahu tinggal di kem pelarian selama-lamanya. Hampir enam tahun telah berlalu. Kekecewaan telah meningkat selain isu keselamatan di kem," kata Mohammed Rezuwan Khan, seorang aktivis hak pelarian di kem Cox's Bazar, kepada Anadolu.
"Kami mahu pulang dengan hak dan keselamatan warganegara yang sepatutnya. Oleh itu, penghantaran pulang mesti selamat dan bermaruah. Banyak kes terhadap Rohingya oleh kerajaan junta dan oleh itu perlu ada jaminan bahawa mereka tidak akan menjadi mangsa," katanya.
Lawatan itu tidak diketahui pelarian di kem-kem pelarian kerana pegawai menganggapnya sebagai isu sensitif dan tidak mahu menjelaskan lawatan itu secara terbuka, katanya.
Aktivis hak asasi manusia berkata penduduk Rohingya yang kembali mahukan hak penuh mereka dipulihkan, termasuk kewarganegaraan, hak etnik, kebebasan bergerak dan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan namun bimbang hak itu tidak terjamin.
"Jika itu tidak dipenuhi, kepulangan mereka seperti pemindahan dari kem pelarian ke penjara terbuka. Saya tahu pengalaman Rohingya di utara Rakhine State yang mengalami pelbagai sekatan," menurut Nay San Lwin, pengasas bersama Gabungan Rohingya Bebas kepada Anadolu.
Beliau berkata langkah pertama sepatutnya memastikan hak untuk mereka kembali ke kampung asal dan bukan kampung yang ditawarkan oleh junta manakala langkah kedua memansuhkan Kad Pengesahan Kebangsaan (NVC) yang juga dikenali sebagai "Genocide Card."
Pakar dan aktivis hak asasi manusia juga meminta kerajaan Bangladesh supaya berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan perangkap oleh kerajaan Myanmar memandangkan junta kini berada dalam keadaan tertekan, termasuk dari Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
Beijing yang menjadi pengantara proses itu turut mendesak Myanmar memulakan penghantaran pulang.
Bercakap kepada Anadolu, Imtiaz Ahmed, seorang profesor Perhubungan Antarabangsa di Universiti Dhaka, berkata AS telah meningkatkan tekanan dan junta Myanmar kini dilihat sebagai terpinggir dalam bidang kuasa global.
"Kerajaan junta telah hilang keupayaan dan kuasa ketenteraannya dan terpinggir. Myanmar menjadi begitu terdesak untuk membuktikan kepada dunia bahawa kerajaan junta bermurah hati untuk mengambil semula rakyatnya untuk menarik perhatian dunia Barat," katanya.
Beliau menyambut baik inisiatif penghantaran pulang itu dengan berkata projek perintis itu akan diperluaskan jika berjaya.
Aktivis hak asasi terkenal Nur Khan Liton memberitahu Anadolu bahawa sejak kebelakangan ini, keadaan keselamatan di kem pelarian semakin merosot apabila ramai ketua masyarakat Rohingya dibunuh. Krisis keselamatan dan ketakutan dalam kalangan pelarian, mendorong mereka meninggalkan kem untuk pulang ke Myanmar.
Beliau berkata "tidak ada pembaharuan di negeri Rakhine bagi proses penghantaran pulang dan junta Myanmar tidak menambah baik syarat penghantaran pulang yang selamat."
Beliau mengingatkan supaya jangan terlalu percaya dengan junta berhubung penghantaran pulang pelarian kerana ia berkemungkinan satu perangkap bagi Bangladesh sebelum pilihan raya kebangsaannya.
Lwin berkata jika hak warganegara tidak dipenuhi, mereka akan menghadapi banyak kesukaran, seperti yang mereka alami dari 1992-2017.
Junta menghadapi tekanan dari China, dan untuk mengurangkan tekanan, mereka perlu membawa pulang pelarian Rohingya, katanya.
"Jika junta sanggup membawa pulang Rohingya, mereka boleh mulakan dengan menempatkan semula 130,000 pelarian di kem Sittwe, Negeri Rakhine kembali ke kampung asal mereka. Ini akan menjadi tarikan besar bagi pelarian Rohingya yang kini berada di Bangladesh," kata Lwin .
Dalam fasa pertama, lebih 1,100 Rohingya dijadual dibawa pulang, namun banyak inisiatif seperti ini gagal lebih awal kerana tiada kerjasama dari pihak Myanmar.
Lebih 1.2 juta orang Islam Rohingya yang dipindahkan secara paksa dari Myanmar kini tinggal di 33 kem pelarian yang sesak di Cox's Bazar, dengan 30,000 lagi dipindahkan ke Bhasan Char, sebuah pulau di Teluk Benggala.
Kebanyakan pelarian melarikan diri daripada tindakan keras tentera yang kejam di Rakhine, sebuah negeri di pantai barat Myanmar yang majoriti penduduknya penganut Buddha. – BERNAMA-ANADOLU