Jumaat, 5 Mei 2023 | 10:43am
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

ASEAN perlu melangkaui 5PC tangani krisis Myanmar - Badan hak asasi manusia

JAKARTA: Anggota pertubuhan hak asasi manusia Forum Asia untuk Hak Asasi Manusia dan Pembangunan (FORUM-ASIA) menggesa ASEAN melangkaui Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam menangani krisis Myanmar.

Forum itu menghantar surat terbuka ditandatangani 25 pertubuhan hak asasi manusia dari Asia kepada pemimpin ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 pada 9 hingga 11 Mei ini.

"Kami menggesa pemimpin ASEAN segera meninggalkan Konsensus Lima Perkara dan mewujudkan tindakan lebih mantap dan ketara untuk menghentikan keganasan dan jenayah kekejaman junta tentera," menurut kenyataan disiarkan di laman web Progressive Voice Myanmar yang dipetik portal antaranews.com.

Ia juga menggesa ASEAN segera menganjurkan dialog membina dan inklusif dengan semua pihak berkepentingan dan pihak yang berkaitan, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG) sebagai kerajaan yang dipilih secara demokrasi, wakil Pertubuhan Penentangan Etnik (ERO) dan kumpulan masyarakat sivil Myanmar.

Ia menyeru ASEAN untuk bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Majlis Keselamatan dan Setiausaha Agung, dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar.

Pertubuhan hak asasi berkenaan menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kekurangan tindakan nyata daripada ASEAN dalam menamatkan krisis di Myanmar.

Pada April 2021, ASEAN dan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing bersetuju dengan 5PC sebagai pelan damai untuk menangani krisis Myanmar.

Konsensus menyeru keganasan dihentikan segera; mengadakan dialog antara semua pihak; pelantikan utusan khas; membenarkan bantuan kemanusiaan daripada ASEAN; dan membenarkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak.

Bagaimanapun, dua tahun sejak diterima pakai, junta tentera Myanmar mengabaikan pelan damai itu.

Pertubuhan hak asasi manusia itu berkata ASEAN gagal bukan sahaja dalam menahan junta Myanmar untuk mempertanggungjawabkan komitmennya terhadap konsensus, tetapi juga dalam menyatukan usaha dan kepemimpinannya dalam mempromosikan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di rantau ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan junta semakin menggunakan serangan udara sebagai strategi untuk menyebabkan kerosakan besar dan korban awam di darat,

Junta tentera melakukan 734 serangan udara antara Februari 2021 dan Januari 2023, yang mengakibatkan 356 kematian orang awam, tambahnya.

Pertubuhan hak asasi manusia berharap ASEAN akan segera melantik utusan khas ke Myanmar dan menetapkan mandat yang jelas.

Peranan utusan khas itu mestilah sepenuh masa, bertahan lebih daripada satu tahun, dan mereka mesti bertanggungjawab kepada pemimpin dan menteri luar ASEAN dan bukannya pengerusi ASEAN sedia ada, kata mereka. - AGENSI

Berita Harian X