Isnin, 1 Mei 2023 | 1:08pm
Paetongtarn dan suami berkongsi gambar anak kedua dalam media sosial. - Foto Facebook
Paetongtarn dan suami berkongsi gambar anak kedua dalam media sosial. - Foto Facebook

Calon perdana menteri bersalin

BANGKOK: Pilihan raya umum (PRU) Thailand dijadual dua minggu lagi dan hari ini, calon perdana menteri Paetongtarn Shinawatra, melahirkan seorang bayi lelaki.

Paetongtarn, 36, ialah anak bongsu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, dan calon parti tajaan keluarga Shinawatra, Pheu Thai pada PRU negara itu.

Sebagai pembangkang, Pheu Thai mendahului pesaing dalam tinjauan pendapat Suan Dusit yang dikeluarkan pada Sabtu.

Paetongtarn mengumumkan mengenai kelahirannya itu di laman rasmi Facebook dan Instagram sambil memuat naik gambar bayinya hari ini.

"Hai, nama saya Prutthasin Sooksawas. Boleh panggil saya Thasin.

"Terima kasih atas sokongan. Dalam beberapa hari ini, tunggu ibu saya pulih dan dan saya berjumpa dengan media," tulisnya pada keterangan gambar.

Paetongtarn, yang menggunakan nama panggilan Ung Ing, menjadi yang pertama atau kedua dalam tinjauan pendapat sebagai calon perdana menteri pilihan pengundi, sepanjang kempen PRU yang dijadualkan pada 14 Mei depan.

Kelahiran anak kedua Paetongtarn menghalang calon itu daripada terus berkempen untuk PRU.

Nama keluarganya yang dikenali dan populariti berkekalan partinya, mungkin sekali lagi membawa kemenangan pilihan raya yang mungkin membolehkannya kembali berkuasa.

Tinjauan pendapat menunjukkan parti pembangkang memberi saingan hebat kepada penyandang Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, yang mula-mula berkuasa dalam rampasan kuasa pada 2014, menggulingkan kerajaan yang dipilih dan dipimpin oleh ibu saudara Paetongtarn, Yingluck Shinawatra.

Bapa Paetongtarn dan abang Yingluck, yang juga jutawan telekomunikasi, Thaksin Shinawatra sendiri digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006.

Kedua-dua mereka, Thaksin dan Yingluck hidup dalam buangan atas pilihan sendiri untuk mengelakkan sabitan penjara yang dikatakan sekutu mereka, direka untuk menghalang kemunculan semula dalam politik.

Prayuth, yang menjadi perdana menteri awam selepas pilihan raya pada 2019, bagaimanapun ketinggalan di tempat keempat dalam undian pertengahan April untuk calon perdana menteri kegemaran pengundi dengan hanya memperoleh 13.72 peratus.

Bagaimanapun, Prayuth mungkin mendapat bantuan daripada Senat 250 kerusi, yang anggotanya yang dilantik sudah diluluskan oleh junta tentera yang dipimpin Prayuth, selama lima tahun.

Dewan Negara juga mengundi perdana menteri, sekali gus mewujudkan kemungkinan pemimpin parti terbesar dalam Dewan Rakyat 500 kerusi yang dipilih boleh dinafikan jawatan tertinggi, jika Senat mengundi dengan parti minoriti.

Paetongtarn (tengah), jutawan hartanah, Srettha Thavisin, dan penasihat parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri, antara calon perdana menteri Thailand. - Foto REUTERS
Paetongtarn (tengah), jutawan hartanah, Srettha Thavisin, dan penasihat parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri, antara calon perdana menteri Thailand. - Foto REUTERS

Berita Harian X