Ahad, 23 April 2023 | 2:12pm
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr (kanan) menerima kunjungan Menteri Luar China, Qin Gang di Istana Malacanang di Manila, Filipina. - Foto AFP
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr (kanan) menerima kunjungan Menteri Luar China, Qin Gang di Istana Malacanang di Manila, Filipina. - Foto AFP

Filipina, China komited selesai isu Laut China Selatan

MANILA: Filipina dan China semalam berjanji bekerjasama menyelesaikan perbezaan maritim di Laut China Selatan, sekali gus mempereratkan hubungan dua hala.

Kedua negara itu saling membuat tuntutan bertindih berhubung kepentingan maritim dan wilayah perairan terbabit.

Rundingan antara menteri luar kedua-dua negara itu adalah yang terbaru dalam siri pertemuan peringkat tinggi Filipina dengan pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan China ketika dua kuasa besar itu bersaing untuk kelebihan strategik di Indo-Pasifik.

Hubungan Manila dengan Beijing lebih daripada sekadar perbezaan mereka berhubung Laut China Selatan, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique Manalo, ketika beliau memulakan perbincangan dengan Menteri Luar China, Qin Gang, di Manila.

"Perbezaan ini tidak seharusnya menghalang kita daripada mencari penyelesaian untuk menguruskannya dengan berkesan, terutama berkenaan hak rakyat Filipina, khususnya nelayan," kata Manalo, sambil menambah mata pencarian nelayan terjejas akibat pergolakan di laluan perairan itu.

Sejak Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, mengambil alih jawatan pada Jun tahun lalu, Filipina memfailkan puluhan bantahan diplomatik susulan kehadiran kapal nelayan China dan apa yang dipanggil 'tindakan agresif' China di laluan air strategik itu.

Kedua-dua negara itu kini berusaha bekerjasama untuk meneruskan tradisi persahabatan, mengeratkan kerjasama dan menyelesaikan perselisihan dengan betul, kata Qin dalam ucapan pembukaannya.

Tambah beliau, dengan bekerjasama, ia akan membantu menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau dan dunia.

Lawatannya itu dilakukan hanya beberapa minggu selepas Filipina mengumumkan lokasi empat pangkalan tentera AS tambahan, dua daripadanya menghadap ke utara, ke arah Taiwan.

Qin kemudian akan bertemu Marcos pada Sabtu depan, menjelang pertemuan Presiden Filipina dengan Presiden AS, Joe Biden, di Washington pada Mei.

Lebih 17,000 askar Filipina dan AS yang kini sedang menjalankan latihan ketenteraan bersama terbesar mereka di negara Asia Tenggara itu, mendapat kritikan daripada Beijing, saingan Manila di Laut China Selatan.

Vietnam, Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina juga mempunyai tuntutan bersaing di sebahagian besar perairan laut China Selatan. - REUTERS

Berita Harian X