Sabtu, 22 April 2023 | 11:26am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Asia dilanda gelombang haba

BANGKOK: Seluruh negara Asia Selatan dan Asia Tenggara kini berdepan gelombang haba, dengan beberapa negara mencatat rekod suhu tinggi.

Bangladesh mencatatkan suhu tertinggi dalam tempoh hampir 60 tahun minggu lalu, manakala di India, sekurang-kurangnya 13 maut akibat strok haba dan dua di Thailand.

Saintis berkata, pemanasan global memburukkan lagi cuaca, dengan laporan terbaru Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim memberi amaran, 'setiap kenaikan pemanasan global akan meningkatkan bahaya berganda secara serentak'.

Jabatan Meteorologi Thailand pada Rabu lalu, berkata suhu mencecah rekod 44.6 darjah Celsius di wilayah barat Tak pada 15 April lalu dan mengingatkan, suhu panas akan berterusan hingga minggu depan.

"Mungkin cuaca panas tahun ini bertambah teruk kerana tindakan manusia," kata timbalan ketua pengarah jabatan itu, Thanasit Iamananchai.

Negara itu lazimnya mengalami cuaca yang lebih panas sebelum musim hujan, namun kepanasan amat melampau pada kali ini.

"Rekod panas tahun ini di Thailand, China dan Asia Selatan adalah trend iklim yang jelas dan akan menyebabkan cabaran kesihatan awam untuk tahun akan datang," kata saintis yang juga ketua serantau bagi institut dasar iklim, Climate Analytics, Fahad Saeed.

Beliau memberi amaran, suhu yang melonjak berpunca daripada perubahan iklim dan kesan terhadap penduduk rentan akan menjadi lebih teruk.

"Panas melampau yang kita saksikan sejak beberapa hari lalu akan memberi kesan lebih buruk kepada golongan miskin.

"Ia mungkin mengancam nyawa mereka, yang tidak mempunyai akses kepada penyejukan atau tempat perlindungan yang mencukupi," kata Fahad, yang berpangkalan di Pakistan.

Di Bangladesh, ratusan orang berkumpul di ibu kota Dhaka minggu ini untuk berdoa memohon hujan selepas suhu mencecah 40.6 darjah Celsius, yang tertinggi direkodkan sejak 1960-an.

"Mereka mengadakan solat hajat memohon hujan, suhu berkurangan dan perlindungan daripada gelombang haba," kata ketua polis tempatan, Abul Kalam Azad.

Negara yang berada pada paras rendah itu terjejas dengan mendadak akibat perubahan iklim, termasuk mengalami banjir yang dahsyat dan hujan yang tidak menentu.

Di negara jirannya, India, sekurang-kurangnya 13 maut akibat strok haba pada satu acara anugerah yang diadakan di tempat terbuka di barat negara itu, Ahad lalu.

Ia berlaku ketika pihak berkuasa cuaca negara itu, berkata bahagian utara dan timur India mengalami suhu kira-kira tiga hingga empat darjah melebihi normal. - AFP

Berita Harian X