Khamis, 20 April 2023 | 5:14pm
Hun Manet (kanan) telah dinaikkan secara rasmi ke pangkat jeneral empat bintang hari ini, dalam satu lagi tanda rancangan untuk dia menggantikan bapanya. - Foto AGENSI
Hun Manet (kanan) telah dinaikkan secara rasmi ke pangkat jeneral empat bintang hari ini, dalam satu lagi tanda rancangan untuk dia menggantikan bapanya. - Foto AGENSI

Anak lelaki PM Kemboja, Hun Manet dilantik jeneral empat bintang

PHNOM PENH: Anak lelaki sulung Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen secara rasmi dinaikkan pangkat sebagai jeneral empat bintang sebagai satu tanda perancangan untuk dia menggantikan bapanya.

Hun Sen secara terbuka menyokong Hun Manet untuk memimpin kerajaan pada masa hadapan.

Hun Manet adalah seorang komander tentera menerima pangkat empat bintang dalam majlis khas yang dihadiri lebih 1,000 pegawai kanan tentera.

Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Banh mempengerusikan majlis itu berkata kenaikan pangkat Hun Manet mencerminkan usahanya untuk berkhidmat kepada negara, tentera dan rakyat Kemboja khususnya.

Hun Manet mendapat pendidikan di Britain dan Amerika Syarikat mendapat sokongan padu daripada kerajaan sebagai bakal perdana menteri.

Beliau juga mula aktif di media sosial sejak beberapa bulan kebelakangan ini bagi meningkatkan profil awam dirinya.

Menurut Institut Lowy Indeks Kuasa Asia, Hun Manet yang berusia 45 tahun telah mengadakan banyak pertemuan diplomatik bersama tokoh politik kanan berbanding sebelum ini.

"Pada 2022 beliau bertemu 10 pemimpin dunia, timbalan pemimpin dan menteri luar, berbanding hanya dua pada 2019," katanya.

Hun Manet akan bertanding merebut kerusi parlimen dalam pilihan raya Kemboja yang dijadualkan diadakan pada Julai tahun ini.

Hun Sen yang memerintah Kemboja selama 38 tahun berulang kali membayangkan dirinya akan berundur.

Bagaimanapun, beliau berkata akan bertanding semula dalam pilihan raya akan datang.

Hun Sen juga melucutkan kebebasan demokrasi di negara berkenaan serta menggunakan mahkamah bagi menyekat pembangkang dan sering menyifatkan pencapaian anak-anaknya adalah sebagai hasil pendidikan dan latihan serta menolak dakwaan nepotisme.

Pada pilihan raya umum 2018 yang lalu, parti pimpinan Hun Sen memenangi setiap kerusi di parlimen selepas mahkamah agung Kemboja membubarkan pihak pembangkang daripada Parti Penyelamat Negara Kemboja (CNRP) ketika itu. - AFP

Berita Harian X