JAKARTA: Indonesia mengesan lima jangkitan baharu COVID-19 membabitkan subvarian Omicron, Arcturus, menjadikan jumlah keseluruhannya meningkat kepada tujuh kes, setakat semalam.
"Dua kes terbabit dilaporkan dari Surabaya dan tiga lagi di Jakarta," kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Mohammad Syahril, sambil memaklumkan bahawa semua pesakit berkenaan mengalami gejala ringan serta telah pulih.
Gejala itu termasuk batuk, selesema, demam dan sakit tekak, namun beberapa negara melaporkan simptom tipikal seperti mata kemerahan atau konjunktivitis dan kotoran.
Dua strain baharu COVID-19, juga dikenali sebagai XBB.1.16, kali pertama dikesan di Indonesia pada awal bulan ini berdasarkan penjujukan genom yang dijalankan pada akhir Mac lalu.
Kementerian itu sedang mengkaji sama ada XBB.1.16 mencetuskan penularan baharu di Indonesia, yang merekodkan 725 kes semalam berbanding 494 jangkitan pada Isnin minggu lepas.
Pada 22 Mac lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan Arcturus sebagai varian baharu yang perlu dipantau. – BERNAMA