BALI: Indonesia bercadang memperkenalkan cukai baharu kepada pelancong susulan beberapa insiden berkelakuan buruk, sekali gus melanggar undang-undang atau adat membabitkan golongan itu.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno, berkata kerajaan kini sedang meneliti kemungkinan untuk memperkenalkan cukai berkenaan.
"Kajian ini dijangka selesai menjelang beberapa minggu lagi, sekali gus perbincangan mengenainya dapat diadakan bagi memuktamadkan sebarang keputusan lanjut," katanya seperti dipetik menerusi laporan Jakarta Post.
Laporan sama turut mengetengahkan kebimbangan persatuan perniagaan yang khuatir cukai itu akan menghalang orang ramai berkunjung ke Bali, sekali gus menjejaskan sektor pelancongan yang ketika ini sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
Awal bulan ini, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan yang menggesa pengenalan cukai pelancongan berkata, Bali adalah antara destinasi pelancongan termurah di dunia dan ia 'menggalak kemasukkan ramai pelancong asing berpendapatan rendah, sekali gus melonjak kes tingkah laku tidak terkawal'.
Beliau dilaporkan berkata, pulau itu perlu fokus kepada usaha menjadi destinasi pelancongan berkualiti, berbanding lokasi pelancongan besar-besaran.
Luhut ketika mengemukakan syor itu antara lain turut mempamerkan video pelancong ditahan polis kerana memandu motosikal tanpa topi keledar atau baju, selain menjerit kepada pihak berkuasa dan menuduh mereka cuba mencuri wang.
Sandiaga dan Luhut masing-masing mengesyorkan supaya dana dikutip melalui cukai itu digunakan bagi pembangunan industri pelancongan tempatan.
Sementara itu, Gabenor Bali, Wayan Koster, berkata pulau itu bercadang melarang pelancong menyewa motosikal berikutan pelanggaran peraturan lalu lintas, termasuk memandu tanpa topi keledar atau lesen.
Bali sebelum pandemik merekodkan kemasukan 6.2 juta pelancong asing setahun dan dianggarkan menyumbang kira-kira 60 peratus ekonomi pulau yang terkenal sebagai lokasi luncur air, kawasan padi dan hiburan.
Penduduk tempatan semakin kecewa dengan tingkah laku pelancong yang tidak menghormati atau melanggar undang-undang sama ada warga asing berbogel untuk bergambar di lokasi suci mahupun pemanduan teruk. - AGENSI