Jumaat, 14 April 2023 | 11:08pm
Presiden Indonesia Jokowi telah beralih daripada pendirian tegas terhadap kesalahan dadah. - Foto REUTERS
Presiden Indonesia Jokowi telah beralih daripada pendirian tegas terhadap kesalahan dadah. - Foto REUTERS

Presiden Indonesia beri pengampunan kepada banduan dadah yang dihukum mati

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi memberikan pengampunan hukuman mati kepada seorang wanita yang menghabiskan lebih 20 tahun di penjara kerana penyeludupan dadah, hari ini.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid, iaitu satu kumpulan hak asasi manusia, menyifatkan ia sebagai "belum pernah berlaku sebelum ini" di bawah pentadbiran Jokowi.

Merri Utami, 49, dijatuhi hukuman mati pada 2002 oleh mahkamah di Tangerang, barat ibu kota Jakarta, selepas didapati bersalah cuba menyeludup heroin ke negara itu.

Dia mendakwa bahawa dia ditipu untuk menjadi keldai dadah.

Sementara itu, peguam Utami, Aisya Humaida, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan langkah seterusnya untuk cuba mengurangkan lagi hukumannya.

Jokowi memberikan pengampunan kepada Utami hampir tujuh tahun selepas dia mula-mula menghantar rayuan kepada presiden.

Pada 2014, Jokowi menggesa hukuman lebih keras bagi kesalahan dadah dan mengembalikan hukuman mati.

Kemudian, peguam hak asasi manusia, Todung Mulya Lubis, berkata kerajaannya bagaimanapun mula meminda dasar garis keras itu.

"Terdapat perubahan dalam dasar iaitu Agensi Narkotik Kebangsaan dahulu secara aktif melaksanakan hukuman mati bagi pesalah dadah, tetapi kini memberi tumpuan kepada pemulihan," katanya.

Indonesia menjatuhkan sekurang-kurangnya 114 hukuman mati pada 2021, menurut laporan Amnesty International, menjadikan jumlah hukuman matinya kepada lebih 500, termasuk sejumlah warga asing.

Sehingga 2021, 82 peratus daripada semua hukuman mati yang direkodkan diberikan untuk kesalahan berkaitan dadah. - AFP

Berita Harian X