JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda pulau Sumatera di barat Indonesia malam tadi menggegarkan kediaman penduduk.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.
Pusat gempa berada di laut barat daya bandar Padangsidempuan di utara Sumatera pada kedalaman 84 kilometer, lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Ia berlaku sekitar jam 9.59 malam (1459 GMT).
Agensi meteorologi dan geofizik negara itu berkata tiada amaran tsunami selepas gegaran itu tetapi memaklumkan kepada penduduk berhampiran pusat gempa itu supaya berhati-hati dengan potensi gempa susulan.
Saluran media utama Indonesia tidak membawa laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan tetapi beberapa penduduk melaporkan rumah mereka bergegar.
"Gempa bumi itu agak kuat dan juga panjang. Ia tidak seperti yang biasa. Kali ini rumah kami bergegar kuat," kata Dody, seorang penduduk Kabupaten Tapanuli Utara di utara Sumatera.
Indonesia mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, yang mana plat tektonik bertembung.
Pada 21 November, gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda wilayah Jawa Barat di pulau utama Indonesia di Jawa, mengorbankan 602 orang. - AFP