Isnin, 3 April 2023 | 3:15pm
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha. - Foto AFP
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha. - Foto AFP

PM Thailand jaja pengalaman menjelang pilihan raya mencabar

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha menggunakan pengalamannya memimpin negara itu sebagai bahan kempen bagi menarik pengundi menjelang pilihan raya yang mencabar bulan depan.

Bekas ketua tentera itu yang mula berkuasa melalui rampasan kuasa pada 2014, berdepan cabaran sengit daripada pembangkang diketuai Paetongtarn Shinawatra, anak kepada jutawan yang juga bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.

Prayut, 69, tiba di sebuah dewan sukan di Bangkok menaiki trak bersama calon Ahli Parlimen dan disambut dengan sorakan oleh penyokongnya daripada parti Bangsa Thailand Bersatu.

Ketika bercakap kepada Thairath TV, Prayut menegaskan Thailand memerlukan pemimpin yang tahu menjalankan tugasnya, dan individu yang belum pernah mentadbir negara itu tidak mampu melaksanakan tugas berkenaan.

Pilihan raya Thailand akan berlangsung 14 Mei depan yang juga pilihan raya pertama sejak negara itu dilanda protes prodemokrasi besar-besaran yang diketuai golongan belia pada 2020.

Ketika ini, tinjauan di lapangan mendapati Prayut dan partinya ketinggalan di belakang parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn serta Parti Maju Kehadapan yang diketuai oleh Pita Limjaroenrat.

Di bawah pentadbiran Prayut, ekonomi Thailand bergelut untuk pulih daripada kesan COVID-19, dengan Thailand adalah satu-satunya negara Asia Tenggara, selain Myanmar yang masih belum merekodkan pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke tahap sebelum pandemik.

Namun, perlembagaan Thailand yang dirangka junta pada 2017 memberi kelebihan besar kepada parti pilihan tentera dalam membentuk kerajaan, kerana calon Perdana Menteri perlu memperoleh sokongan majoriti daripada 500 Ahli Parlimen serta 250 senator lantikan tentera.

Parti Pheu Thai menyasarkan untuk menang besar pada pilihan raya itu bagi mengelak daripada pihak tentera menghalang kemenangan mereka seperti yang berlaku pada 2019, di mana parti itu menang kerusi Parlimen tertinggi tetapi dihalang daripada menjadi kerajaan.

Jika sasaran itu tercapai, Paetongtarn yang hamil lapan bulan bakal menjadi Perdana Menteri, sekali gus mengikut jejak langkah bapa serta ibu saudaranya, Yingluck, yang digulingkan Prayut pada 2014. - AFP

Berita Harian X