NUSA DUA: Indonesia dan Russia menandatangani perjanjian ekstradisi bagi mengukuhkan usaha memerangi jenayah rentas sempadan daripada pengubahan wang haram dan jenayah siber.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Menteri Undang-Undang Indonesia, Yasonna Laoly dan Menteri Kehakiman Russia, Konstantin Chuychenko, dalam satu majlis yang diadakan di Bali.
Menurut Yasonna, perjanjian berkenaan adalah penting kerana ia dapat membantu kedua-dua negara menangani jenayah rentas sempadan seperti jenayah siber, pengubahan wang haram, dadah dan rasuah.
Indonesia mempunyai hubungan diplomatik dengan Russia sejak 1950 dan hubungannya kekal baik walaupun berlaku perang di Ukraine.
Sementara itu, pada tahun lalu Presiden Indonesia Joko Widodo melawat ke Moscow dan Kyiv dalam usaha untuk menghidupkan semula rundingan damai dan mencari jalan untuk memasarkan bijirin ke pasaran global.
Warga Russia juga adalah antara kumpulan pelancong asing terbesar di Indonesia, menurut data pelancongan rasmi.
Sejak sekatan COVID-19 dilonggarkan, lebih 77,500 warga Russia tiba di Indonesia antara September 2022 hingga Januari 2023. - REUTERS